SPR bersih 348,098 nama pemilih meninggal dunia sejak 2017

Mohamed Hanipa Maidin
Mohamed Hanipa Maidin
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Sebanyak 348,098 nama pemilih yang meninggal dunia telah dipotong daripada senarai daftar pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sejak 2017 hingga 31 Ogos lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata, jumlah itu termasuk 91,154 nama pemilih telah meninggal dunia yang dipotong daripada senarai itu sejak Januari hingga 31 Ogos tahun ini.

"Pada 2017, sebanyak 139,118 nama pemilih yang telah meninggal dunia dipotong daripada senarai daftar pemilih, manakala pada 2018 sebanyak 117,826 nama telah dipotong," katanya pada sesi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (DAP-Kota Melaka) yang mahu perdana menteri menyatakan langkah-langkah yang telah dan sedang diambil oleh SPR untuk membersihkan daftar pemilih.

Mohamed Hanipa berkata, SPR juga telah membersihkan nama mereka yang melepaskan atau dilucutkan hak kewarganegaraan daripada senarai daftar pemilih.

Beliau berkata, pada tahun 2017, sebanyak 11,799 nama pemilih yang hilang taraf kewarganegaraan telah dipotong, 3,496 pada 2018 manakala dari Januari sehingga 31 Ogos lepas sebanyak 3,940 nama juga telah diambil tindakan sama.

Mohamed Hanipa berkata, pengemaskinian data itu dibuat berdasarkan maklumat yang didapati dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Pembersihan dan pengemaskinian ini adalah bagi memastikan proses pilihan raya di negara ini berjalan dengan telus dan bersih," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai sistem pendaftaran automatik, Mohamed Hanipa berkata, SPR akan cuba melaksanakan sistem itu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, ketika ini beberapa langkah ke arah pelaksanaan sistem itu telah mula dilakukan bagi memastikan ia boleh dilaksanakan pada PRU15. - Bernama