'Ops Payong' pastikan SPM 2019 lancar

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) telah menyediakan pelan bencana banjir 'Ops Payong' bagi memastikan 19,549 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat menduduki peperiksaan itu sepanjang musim tengkujuh ini.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah JPNT, Abdul Muie Ngah berkata, pelan itu menyediakan garis panduan dan tindakan yang perlu diambil kesemua lapan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negeri ini sekiranya berlaku banjir di sekolah di bawah seliaan mereka.

"Pengurusan sekolah juga sudah mengenal pasti dan mempunyai maklumat lengkap calon yang tinggal di kawasan berisiko banjir bagi memudahkan bantuan diberi sekiranya berlaku banjir ketika peperiksaan berlangsung," katanya.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan notis amaran cuaca waspada peringkat kuning di Kelantan dan Terengganu berikutan luruan angin timur laut yang dijangka bertiup kencang di beberapa kawasan di dua negeri tersebut bermula esok dan Jumaat ini.

Antara kawasan di Terengganu yang dijangka berdepan cuaca itu ialah daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

Sebanyak 167 pusat peperiksaan SPM terdapat di seluruh Terengganu pada tahun ini. Peperiksaan itu yang bermula 5 November lepas akan tamat pada 28 November. - Bernama

Artikel Berkaitan: