Selangor bakal lancar sistem My IPR Disember ini

AMIRUDIN
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor bakal melancarkan satu sistem data dikenali sebagai My IPR bagi mengumpulkan maklumat mengenai penerima-penerima Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dalam tempoh masa terdekat.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, sistem itu yang dijangka akan dilancarkan pada bulan December depan atau selewat-lewatnya menjelang Januari 2020 ini bakal mengumpulkan data semua penerima IPR di negeri ini secara bersepadu.

Beliau berkata, pelaksanaan IPR sebelum ini sememangnya mempunyai kelemahan tertentu di mana data-data penerima terlibat tidak dikumpulkan di bawah satu bumbung.

"Disebabkan itu kita terpaksa pergi dari agensi ke agensi berkaitan untuk mengumpulkan data-data penerima ini untuk dikumpulkan di bawah satu unit data yang besar.

"Sistem yang kerajaan negeri bangunkan sejak Mac lalu telah siap dan dijangka akan dilancarkan pada Disember ini atau selewat-lewatnya Januari tahun hadapan," katanya pada sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Amirudin berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Pas-Sijangkang) berhubung punca data bersepadu penerima IPR masih gagal dibangunkan sehingga kini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, pengumpulan data berkenaan bukannya masalah utama dihadapi kerajaan negeri dalam menjaya usaha itu namun kekangan yang perlu diatasi adalah melibatkan kayu ukur bagi penerima berkenaan.

"Kalau kita menggunakan kayu ukur e-Kasih, kita akan dapat angka penerima tertentu dan kalau guna kayu ukur Bantuan Sara Hidup (BSH) pula kita akan dapat angka lain.

"Melalui penjajaran ini, saya akui sejak dari awal memang ada sedikit kekurangan namun kita dapat kesan dan berikan kepada mereka yang selayaknya," katanya.