KDEB Waste Management sokong Petronas SmartPay Fleet Card Scheme

Amirudin (enam dari kiri), Syed Zainal Abidin (lima dari kiri) dan Ramli (tiga dari kanan) selepas Majlis Menandatangani Perjanjian SmartPay Fleet Card Scheme antara KDEB Waste Management dan Petronas Dagangan Berhad di Shah Alam semalam.
A
A

SHAH ALAM - KDEB Waste Management memeterai perjanjian bersama Petronas Dagangan Berhad sebagai menyokong Petronas SmartPay Fleet Card Scheme.

Usaha itu juga membuktikan keyakinan syarikat tersebut terhadap produk tempatan, khususnya minyak keluaran Petronas.

Perjanjian tersebut diwakili Pengarah Urusan KDEB Waste Management, Ramli Mohd Tahir dan Pengarah Urusan Petronas Dagangan Berhad, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir yang disaksikan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Ramli berkata, beliau yakin kerjasama antara KDEB Waste Management dan Petronas Dagangan Berhad mampu memberikan penjimatan kepada sub kontraktor syarikat berkenaan, khususnya melalui penawaran rebet dan insentif lain.

“Kami yakin dapat menjimatkan kos operasi yang semakin meningkat setiap hari, khususnya kos bahan api,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Petronas SmartPay Fleet Card Scheme bersama Petronas Dagangan Berhad di Shah Alam Convention Centre (SACC) di sini semalam.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.

Ramli berkata, kolaboratif itu membolehkan pihaknya memantau dan membuat analisis trend penggunaan minyak untuk lori KDEB Waste Management.

“Ini kerana semua data penggunaan minyak akan dapat di-uruskan secara berpusat dengan lebih sistematik. Perjanjian hari ini (semalam) adalah fasa pertama kerjasama antara kedua-dua pihak dan akan diteruskan untuk fasa seterusnya.

“Dengan keberadaan stesen minyak Petronas di lokasi strategik di seluruh Malaysia, ia akan memberi kemudahan kepada pihak subkontraktor kami untuk mengisi minyak lori kompaktor dan jentera (roro) mereka di mana-mana stesen Petronas yang berdekatan,” katanya.

Beliau berkata, KDEB Waste Management dahulunya sebuah syarikat kecil yang hanya mempunyai tiga kakitangan tetapi kini memiliki seramai 300 kakitangan, hampir 1,000 buah lori, 1,000 subkontraktor dan kira-kira 8,000 pekerja di lapangan setiap hari.

“Tanggal 1 Julai 2016 adalah tarikh yang amat bersejarah kerana syarikat ini telah mula beroperasi secara rasmi di kawasan Majlis Perbandaran Klang (MPK) sebagai projek perintis.

“Sehingga hari ini, daripada keseluruhan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor, pihak kami telah beroperasi di 11 PBT kecuali Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang bakal menerima perkhidmatan daripada kami pada awal tahun depan,” katanya.

Ramli berkata, KDEB Waste Management juga telah membuat satu anjakan paradigma dalam pengurusan sisa pepejal di Malaysia.

“Kami memiliki model perniagaan yang unik dan telah membuat pelaburan besar dengan membeli lori kompaktor serta roro baharu yang sesuai untuk industri sisa pepejal dan pembersihan awam di Selangor," katanya.