A
A

Subkesuburan, ketidaksuburan sering disalaherti

MEMILIKI cahaya mata pastinya idaman hampir kesemua pasangan suami isteri bagi melengkapkan mahligai rumah tangga yang dibina.

Untuk mencapai impian itu, tahap kesuburan yang tinggi merupakan faktor signifikan yang sangat diperlukan oleh kedua-dua pasangan.

Pun demikian, tidak semua pasangan bernasib baik kerana ada juga dalam kalangan suami isteri yang mengalami masalah ketidaksuburan.

Hendak dikira dari segenap aspek, masalah dalaman itu boleh berpunca daripada pelbagai sebab. Selain takdir ILAHI, pemeriksaan kesihatan dapat menentukannya.

Pun begitu, dengan pelbagai teknologi kesihatan masa kini, impian memiliki si kecil hampir tidak mustahil.

Persoalannya, adakah punca tidak mendapat zuriat kerana ketidaksuburan? Ironinya, setiap kali berbicara mengenai masalah kesuburan, sudah pasti akan timbul persoalan yang sangat sinonim – adakah ia salah lelaki atau salah wanita?

Menjawab pertanyaan itu, ikuti perkongsian Sihat:Aktif pada minggu ini.

MERUJUK kembali tahun 2016, Jabatan Perangkaan Malaysia telah mendedahkan satu statistik yang menunjukkan kadar kehamilan negara kita telah jatuh mendadak ke tahap yang terendah dalam sejarah.

Ketika itu, nisbah kadar kehamilan buat wanita yang berusia 15 hingga 49 tahun hanya 1.9 bayi. Lebih membimbangkan, purata umur ibu yang melahirkan bayi pertama adalah pada usia 27.7 tahun.

Statistik itu menunjukkan bahawa isu kesuburan tidak lagi boleh dipandang remeh dan perlu ditangani dengan segera.

Secara umumnya, masalah itu timbul dek pelbagai faktor. Aspek usia, hormon, berat badan, tahap kesihatan, pemakanan, pekerjaan dan gaya hidup antara berperanan.

Kini, masalah ketidaksuburan mungkin dapat diatasi dengan bantuan pelbagai jenis ubatan dan rawatan berteknologi tinggi seperti induksi ovulasi, Intra-Uterine Insemination (IUI), Intracytoplasmic Sperm Injection (ICSI) atau In-Vitro Fertilisation (IVF).

Pun begitu, ia bukan jaminan 100 peratus untuk terus berjaya hamil.

Hakikatnya, sama ada lelaki atau wanita, tiada mana-mana pihak yang harus dipersalahkan di dalam hal itu. Ini kerana masalah ketidaksuburan boleh berpunca daripada kedua-dua pasangan.

Sebanyak 85 peratus daripada pasangan suami isteri dengan tahap kesuburan yang normal akan berjaya menimang cahaya mata dalam tempoh setahun mencuba.

Jika tidak, peluang untuk mendapatkan zuriat akan menjadi semakin rendah seiring dengan peningkatan usia pasangan suami isteri itu sendiri.

Apa kata pakar?

Bagi mendapatkan penerangan lanjut, Pakar Perunding Kesuburan, KL Fertility & Gynaecology Centre, Kuala Lumpur, Dr Helena Lim Yun Hsuen melontarkan pandangannya.

DR Helena Lim Yun Hsuen
DR Helena Lim Yun Hsuen

Terus kepada persoalan pokok sama ada masalah ketidaksuburan salah lelaki atau wanita, jelas Dr Helena, kita sepatutnya sedar bahawa sebenarnya tiada mana-mana pihak yang patut dipersalahkan dalam hubungan suami isteri.

Pun begitu, beliau mengakui hakikatnya, wanita lebih banyak dipersalahkan setiap kali isu ketidaksuburan atau subkesuburan diketengahkan dan itu tidak patut sama sekali.

"Bagi wanita, masalah kesuburan mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor seperti usia, hormon, ovulasi, endometriosis, fibroid, polip, kecacatan pada telur, sindrom DES (diethylstilbestrol) dan lain-lain.

"Jangan terlalu risau kerana masih ada peluang untuk hamil walaupun bukan secara semula jadi. Kini, terdapat pelbagai jenis rawatan kesuburan dan antara yang paling popular adalah kaedah IVF atau persenyawaan in-vitro," katanya kepada Hello Doktor.

Begitupun, tidak adil menyalahkan pasangan wanita semata-mata. Sejak lima hingga 10 tahun kebelakangan ini, 40 hingga 50 peratus masalah ketidaksuburan berpunca daripada pasangan lelaki.

Itu mungkin berkait rapat dengan aspek pemakanan, pekerjaan atau gaya hidup zaman sekarang secara keseluruhannya, kata Dr Helena.

"Mungkin, ada sesuatu perubahan yang perlu kita lakukan. Perkara yang lebih penting adalah kita perlu menjalani gaya hidup yang lebih sihat demi kesuburan dan kesihatan pasangan suami isteri," katanya.

Dalam erti kata yang lain, Dr Helena dan pihak Hello Doktor sendiri sudah pasti tidak bersetuju jika kesalahan itu diletakkan pada bahu pasangan wanita semata-mata.

Ia adalah masalah pasangan suami isteri yang perlu diselesaikan secara bersama dan semua pihak perlu membuka mata melihat perkara berkenaan dengan lebih terbuka.

Ramai terkeliru dengan terma, anggap sama

Sebenarnya, kita tidak boleh hanya memandang masalah ketidaksuburan semata-mata. Sebaliknya, masalah subkesuburan juga perlu dilihat.

Jelas Dr Helena, kira-kira seorang daripada setiap pasangan akan mengalami masalah untuk hamil, sama ada disebabkan subkesuburan atau ketidaksuburan.

"Ia boleh diselesaikan jika pasangan segera menemui pakar untuk mengetahui masalah sebenar. Apakah maksud subkesuburan dan bezanya dengan ketidaksuburan?

"Kebanyakan individu akan terkeliru dengan kedua-dua terma ini dan beranggapan ia perkara yang sama. Pun begitu, ia sudah tentu sekali berbeza," katanya.

Subkesuburan adalah kelewatan untuk hamil manakala ketidaksuburan adalah ketidakmampuan untuk hamil tanpa sebarang rawatan kesuburan. Ia juga boleh terjadi kepada kedua-dua pasangan lelaki dan wanita.

Dr Helena menjelaskan, bagi individu yang mengalami subkesuburan, masih wujud peluang untuk hamil secara semula jadi, namun mengambil masa yang lebih lama berbanding biasa.

Sementara individu yang mengalami ketidaksuburan pula, peluang hamil tanpa sebarang intervensi perubatan boleh dikatakan sebagai mustahil.

Faktor risiko Terdapat beberapa faktor meningkatkan risiko subkesuburan. Kebanyakan faktor risiko itu pula adalah sama untuk lelaki dan juga wanita termasuklah:

-Wanita yang berusia 35 ke atas.

-Lelaki yang berusia 40 ke atas.

-Mempunyai berat badan yang lebih atau kurang dari BMI.

-Menghisap rokok.

-Mengambil dadah.

-Meminum alkohol secara berlebihan.

-Kerap mengalami stres sama ada pada fizikal atau mental.

-Kerap terdedah kepada radiasi.

-Kerap terdedah kepada toksin.

-Pengambilan ubat-ubatan yang tertentu.

Kebanyakan punca berlakunya subkesuburan juga adalah sama seperti ketidaksuburan. Kesukaran untuk hamil boleh jadi disebabkan masalah pada lelaki atau wanita atau kedua-duanya sekali.

Jadi, apakah yang boleh dilakukan?

Sebaiknya, ujian kesuburan perlu dilakukan dengan kadar segera terutamanya jika sudah mencecah usia 35 tahun ke atas.

"Ia mungkin boleh jadi subkesuburan atau ketidaksuburan. Jangan terus berputus asa. Dengan bantuan teknologi kini, masih boleh untuk hamil walaupun bukan secara alami.

"Namun begitu, tidak semua daripada pasangan akan menemui jawapannya. Kira-kira 25 peratus daripada pasangan yang melakukan ujian kesuburan tidak menemui punca subkesuburan atau ketidaksuburan mereka!," katanya.

SALAH menyalahkan seringkali berlaku apabila belum dikurniakan zuriat.
SALAH menyalahkan seringkali berlaku apabila belum dikurniakan zuriat.

Jelas Dr Helena, golongan individu itu dikategorikan sebagai ketidaksuburan yang tidak dapat dijelaskan.

Soal beliau, cuba bayangkan, pasangan telah melakukan ujian kesuburan dan didapati bahawa kedua-dua anda adalah normal tetapi setelah bertahun mencuba, masih tidak dapat hamil. Sudah pasti ia sangat mengecewakan, bukan?

Konklusi beliau, apapun masalah kesuburan tidak boleh dipersalahkan kepada sesiapa. Paling penting dapatkan pandangan pakar dengan segera.

Berat badan mainkan peranan signifikan

INDEKS jisim tubuh (BMI) pada tahap normal penting semasa mencuba untuk hamil. Justeru, gaya hidup sihat dengan menjaga pemakanan dan senaman perlu dititikberatkan.

Mengulas hal berkenaan, Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi, Dr Krishna H Kumar berkongsi, antara yang boleh dilakukan adalah dengan menjaga berat badan.

"Wanita berlebihan atau kekurangan berat badan mungkin mempunyai kitaran haid yang tidak menentu dan kurang berovulasi, sekali gus merendahkan peluang hamil.

"Lelaki berlebihan atau kekurangan berat badan pula cenderung mempunyai kepekatan sperma rendah, manakala lelaki obes pula dikaitkan dengan mati pucuk," katanya ketika wawancara baru-baru ini.

BERAT badan berlebihan boleh menjejaskan kesuburan, namun dengan senaman tetap boleh membantu.
BERAT badan berlebihan boleh menjejaskan kesuburan, namun dengan senaman tetap boleh membantu.

Temu bual itu diadakan dengan kerjasama Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia.

Dr Krishna menambah, terlalu banyak pengambilan kafein atau alkohol juga boleh menjejaskan kesuburan. Bagi lelaki, nafsu dan kualiti sperma mereka akan berkurang.

Sementara untuk wanita, pengambilan alkohol berlebihan menyebabkan peluang hamil tipis dan mungkin mengambil masa lebih lama untuk hamil.

"Pengambilan kafein berlebihan (>500 mg sehari) boleh membawa kesan negatif kepada tahap kesuburan wanita.

"Kajian mendapati wanita minum empat hingga tujuh cawan kopi sehari mempunyai hampir 80 peratus peluang lebih tinggi untuk keguguran," kata Dr Krishna.

Tidak kurang kepada si perokok. Menurutnya, lelaki yang merokok didapati mempunyai kualiti sperma dan kapasiti persenyawaan yang lebih rendah.

Jelasnya lagi, wanita merokok pula menyebabkan kerosakan telur, lalu menjejaskan proses persenyawaan dan penempelan selain turut membahayakan bayi dalam kandungan.

"Ambil tahu juga tentang kitaran haid dan ‘tingkap kesuburan’. Ovulasi biasanya berlaku pada hari ke-14 dalam kitaran itu dan tingkap kesuburan adalah hari ovulasi empat ke lima hari sebelumnya.

"Ini boleh diguna pakai jika anda mempunyai kitaran haid yang teratur iaitu 21 hingga 35 hari. Anda boleh meningkatkan peluang hamil dengan mengadakan hubungan kelamin secara kerap pada waktu kesuburan," katanya.

Selain hubungan intim digalakkan berterusan yang dikatakan boleh memulihkan kitaran haid dan hormon, kerap melakukannya juga meningkatkan kualiti sperma lelaki, kata Dr Krishna.

Beliau turut menasihati supaya pasangan mencari ruang ketenangan. Tekanan dan kemurungan katanya, boleh menyebabkan kemandulan, selain menjejaskan kualiti sperma.

Mengulas tentang sesetengah makanan seperti soya atau nanas didakwa mempunyai kesan negatif kepada kesuburan, menurutnya tiada bukti kukuh tentangnya.

Nasihatnya lagi, jika tidak mampu hamil walaupun selepas setahun melakukan hubungan seks tanpa perlindungan, sebaiknya dapatkan nasihat pakar kesuburan.

ANEKDOT

FAKTOR subkesuburan:

1. Masalah ovulasi

Sama seperti masalah ketidaksuburan, tanpa proses ovulasi berfungsi dengan baik di dalam sistem reproduktif wanita, telur tidak boleh dilepaskan untuk disenyawakan.

Terdapat beberapa kondisi yang boleh menghalang proses ovulasi termasuklah:

Polycystic ovary syndrome (PCOS)

Diminished ovarian reserve (DOR)

Premature ovarian insufficiency (POI)

2. Masalah rahim

Rahim adalah tempat di mana bayi anda membesar. Ketidaknormalan atau kecacatan padanya sudah pasti akan mengganggu keupayaan untuk hamil.

3. Masalah tiub fallopio

Tiub fallopio yang tersekat akan menghalang sperma daripada memasuki telur. Ia boleh disebabkan oleh kondisi seperti:

EndometriosisPelvic inflammatory disease (PID)

Isu mengalami parut akibat pembedahan yang pernah dilakukan, contohnya pembedahan untuk kehamilan ektopik.

Pernah mengalami gonorrhea atau chlamydia.

4. Masalah penghasilan sperma

Penghasilan sperma yang tidak normal boleh menyebabkan subkesuburan. Puncanya termasuklah:

Gonorrhea

Chlamydia

HIV

Diabetes

Beguk

Kanser dan rawatan kanser

Pembesaran salur darah pada testis, yang dikenali sebagai varicocele.

Kecacatan genetik, seperti sindrom Klinefelter.

5. Masalah pergerakan sperma

Pergerakan sperma yang tidak normal juga boleh menyebabkan subkesuburan.

Puncanya seperti:

Kondisi genetik, seperti cystic fibrosis.

Ejakulasi pramatang.

Kecederaan atau kerosakan pada testis.

Berlaku sekatan pada testis.

6. Masalah sistem imunisasi tubuh badan

Dalam beberapa kes yang sangat jarang berlaku, ada wanita yang tubuh badannya akan mencipta antibodi yang menyerang embrio lalu menyebabkan keguguran.

Sumber: Pakar Perunding Kesuburan, KL Fertility & Gynaecology Centre, Kuala Lumpur, Dr Helena Lim Yun Hsuen