Dua lelaki Vietnam kantoi tawar khidmat urut, seks songsang

Muhamad Husni (tengah) memeriksa dokumen pengenalan diri kedua-dua lelaki warga Vietnam.
A
A

GEORGETOWN - Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang menahan dua lelaki warga Vietnam yang menawarkan khidmat urut dan seks songsang dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Transfer di sini malam tadi.

Dalam serbuan jam 11 malam itu, dua lelaki berkenaan ditahan ketika sedang mengurut seorang lelaki warga tempatan dalam keadaan berbogel.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang, Muhamad Husni Mahmud, dua lelaki warga asing berusia 29 dan 31 tahun itu mengaku melakukan aktiviti seks songsang dengan mengenakan bayaran kepada pelanggan dan menggunakan aplikasi sosial untuk promosi aktiviti mereka.

"Mereka juga mengaku mengenakan bayaran sebanyak RM150 untuk sejam perkhidmatan.

"Mereka sudah lima hari menetap di hotel ini serta mencari pelanggan dengan menggunakan aplikasi melalui media sosial," katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian.

Muhamad Husni berkata, dalam serbuan itu pihaknya juga turut merampas wang tunai berjumlah RM1,200 yang dipercayai hasil daripada khidmat urut dan aktiviti seks yang dilakukan.

"Kita turut menemui ubat perangsang dan kondom dalam hotel terbabit yang dipercayai digunakan ketika melakukan aktiviti songsang," katanya.

Katanya, Kedua-dua lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.