Amaran MB dan dilema penanam ketum

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

LEBIH 100 hektar ladang ketum dikesan ditanam di empat daerah di Kedah iaitu Padang Terap, Kubang Pasu, Yan dan Sik, bukti ia terus berleluasa.

Maklumat menerusi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu mendapat perhatian Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mahu ladang terbabit dimusnahkan atau berdepan tindakan tegas di mana tanah yang diusahakan dengan ladang ketum tersebut akan dirampas.

Kata dua yang diberikan Mukhriz itu timbul selepas amaran demi amaran telah dikeluarkan oleh kerajaan Kedah namun tidak berhasil malah mereka ingkar sehingga berani mengusahakannya dalam bentuk skala yang besar. Makin naik lemak pula!

Media sebelum ini mendedahkan tanaman tersebut ditanam secara berselerak dan tersorok bagi mengaburi pihak berkuasa kerana permintaan daun ketum tinggi di pasaran gelap berikutan harganya mampu mencecah sehingga RM100 setiap sekilogram.

Disebabkan itulah penulis percaya, mereka yang mengusahakan tanaman itu terus keras kepala dan berani melawan undang-undang malah ada juga yang menanamnya terbuka secara kecil-kecilan di sekitar kawasan rumah mereka.

Kesempatan itu diambil oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang sanggup membelinya secara borong malah mereka sendiri datang memetik pada waktu malam agar kegiatan mereka tidak dapat dihidu.

Menurut Pengerusi Persatuan Penoreh Getah dan Pekebun-Pekebun Kecil Daerah Padang Terap, Ahmad Zulkifli Ismail, beliau tidak hairan dengan fenomena tersebut kerana ketum telah ditanam secara meluas sejak beberapa puluh tahun lalu.

"Cuma usaha menanam tanaman tersebut dalam skala yang besar sehingga wujudnya ladang-ladang ketum perlu dipandang serius oleh kerajaan dan pihak berkuasa, bukan sekadar berkata-kata atau memberikan amaran semata-mata," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, di sebalik usaha untuk membanteras ataupun menghapuskan tanaman tersebut, kerajaan juga perlu mengenal pasti dilema yang dihadapi golongan terbabit yang sudah tentu sebahagiannya terdiri daripada penduduk kampung namun sanggup mengambil risiko untuk menanam pokok ketum.

“Memang ada penduduk yang tanam satu atau dua pokok di kawasan rumah mereka kononnya untuk tujuan perubatan tetapi yang tanam banyak pokok itu sudah tentu untuk pendapatan sampingan,” ceritanya.

Ahmad Zulkifli berkata, beliau tidak menolak kemungkinan sebahagian yang menanam ketum itu adalah ikhtiar hidup selepas harga getah tidak naik-naik malah lebih teruk apabila tiba musim tengkujuh, hilang terus pendapatan harian.

“Walaupun itu bukan jalan yang sepatutnya diambil oleh mereka namun mungkin itu langkah terakhir yang terpaksa dilakukan. Kerajaan melalui pihak seperti Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) perlu pandang serius isu ini, ia bukan perkara yang kecil,” ceritanya lagi.

Apa yang disuarakan oleh Ahmad Zulkifli ada benarnya malah setiap kali musim hujan mahupun sewaktu harga getah yang boleh jatuh pada bila-bila masa, pihaknya akan mengagihkan bantuan seperti sekampit beras buat penoreh-penoreh getah ini.

Dalam pada itu, sejak akhir-akhir ini, banyak laporan rampasan ketum berjaya dilakukan oleh pihak berkuasa seperti polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Polis Marin di sekitar negeri-negeri utara yang diharapkan dapat menginsafkan pelaku-pelaku yang masih bebas.

Tindakan tegas dan operasi yang digerakkan oleh pihak berkuasa dari masa ke masa sama ada di darat, udara mahupun di air sebenarnya signal berterusan kepada masyarakat bahawa tiada kompromi diberikan kepada mereka yang melakukan kesalahan.

Berbalik kepada amaran keras oleh Mukhriz, nada sama telah disuarakan beliau pada tahun lalu yang akan menggunakan undang-undang di bawah Kanun Tanah Negara bagi menghapuskan ladang ketum, namun jelas mereka yang mengusahakannya tidak rasa terkesan.

Kini sudah tiba masanya amaran tersebut dilaksanakan dalam bentuk tindakan sekiranya amaran pertama disusuli amaran kedua juga tidak memberikan kesan positif.

Pada waktu sama, kerajaan juga perlu memberikan perhatian, pemahaman dan memfokuskan kebajikan kepada penduduk kampung terutamanya penoreh getah mahupun petani yang terpaksa menanam pokok ketum.

Jika perkara itu dapat dilakukan, ia sedikit sebanyak mampu mencantas permasalahan terbabit di peringkat akar umbi.

* Wan Mohd Noor Hafiz Wan Mansor ialah wartawan Sinar Harian Edisi Kedah