Basikal lajak: Ibu bapa perlu diberi kaunseling

Gambar kecil: Rafidah Hanim
Gambar kecil: Rafidah Hanim
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar mencadangkan kerajaan mewujudkan satu jawatankuasa bagi memberi kaunseling kepada ibu bapa remaja yang terlibat dalam aktiviti basikal lajak.

Beliau berkata, kerjasama daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan diperlukan bagi membendung masalah yang semakin membarah dalam masyarakat.

“Jawatankuasa berfungsi untuk mengenal pasti ibu bapa remaja yang terlibat dalam aktiviti basikal lajak, memanggil dan memberikan sesi kaunseling serta amaran keras kepada mereka.

“Saya rasa selama ini apabila ada kesalahan sebegini ibu dan bapa yang mana anak-anak mereka terlibat dengan aktiviti basikal lajak tidak dipanggil dan tidak ada sesiapa yang memberi pandangan terhadap situasi ini kepada ibu bapa,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Mengulas lanjut Rafidah Hanim berkata, hukuman penjara bukanlah penyelesaian terbaik bagi menangani masalah itu.

Ini kerana katanya, jika ibu atau bapa remaja yang terlibat dipenjarakan bagaimana pula dengan keadaan keluarga mereka.

“Tidakkah apabila ibu bapa dipenjarakan ia akan menjadikan keadaan keluarga itu semakin tertekan,” katanya.

Terdahulu, polis menahan enam penjaga selepas disyaki membiarkan anak mereka terbabit dalam aktiviti basikal lajak di sekitar Taman Kosas, Ampang.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Ami Yusoff berkata, enam individu berusia antara 37 hingga 52 tahun itu antaranya bekerja sebagai pengawal keselamatan, peniaga dan penyelia hotel.

ARTIKEL BERKAITAN Enam penjaga ditahan biar anak main basikal lajak!