Bantu industri seni berkembang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KISAH penggiat seni kecewa dengan masalah yang berlaku dalam industri bukan perkara baharu. Sejak dahulu lagi, masalah berkaitan bahan seni yang diplagiat dan dicetak rompak sudah berleluasa.

Baru seminggu filem ditayangkan, panggung sudah mula susut penonton. Filem sudah boleh ditonton secara percuma di platform digital tanpa perlu keluarkan kos membeli tiket. Lagu-lagu boleh didapati cara mudah tetapi penggubah lagu, penulis lirik dan penyanyi sengsara tidak mendapat royalti.

Isu lanun cetak rompak lagu atau filem sudah mula tercetus pada tahun 1980-an lagi. Pelbagai bentuk kempen dilakukan oleh penggiat seni dalam usaha menyelamatkan hasil titik peluh mereka sekali gus menyelamatkan industri itu daripada berkubur.

Walaupun sedih kerana titik peluh mereka tergugat dan dirampas, tetapi penggiat seni bangkit menyertai pelbagai kempen menolak dan memerangi isu cetak rompak. Malangnya, isu ini terus berlaku. Pelbagai filem sudah mula menjadi mangsa dimuat turun secara haram di laman sosial.

Terbaru filem Sangkar yang diterbitkan oleh empat syarikat perfileman tempatan iaitu Infinitus Gold, Primeworks Studios, Astro Shaw dan MM2 Entertainment. Filem animasi Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal juga menerima nasib sama biarpun baru beberapa hari ditayangkan.

Sebelum ini, Skop Productions mengambil tindakan mahkamah terhadap seorang lelaki kerana menyebarkan rakaman filem Munafik 2 tanpa kebenaran. Filem mereka, Abang Long Fadil 2 juga menanggung rugi apabila ada individu memuat naik sedutan 30 saat di Instagram.

Kisah ‘penyangak seni’ dalam industri hiburan mendapat perhatian Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi Majlis Townhall Penggiat Seni Bersama Perdana Menteri kelmarin. Perdana Menteri turut menyatakan kerajaan akan mengkaji cadangan penubuhan sebuah badan khas bagi mengawal selia industri seni. Perhatian itu sedikit sebanyak mampu melegakan seniman dan karyawan.

Namun, masalah tak akan selesai dengan mudah jika pengguna dan peminat seni tidak membantu industri sebaliknya memberi muka kepada penyangak dan perompak ini.

Artikel Berkaitan:

Jangan bersubahat, hargailah karya seni dengan menolak bahan murahan cetak rompak.