Hati-hati amil palsu, kutip zakat rentas negeri

Che Mat ketika bercakap pada Wacana Siri ke-139 bertajuk 'Zakat: Instrumen Kewangan Sosial' di Dewan Karangkraf semalam. - FOTO ROSLI TALIB
A
A

SHAH ALAM - Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) membidas tindakan pihak tertentu mengutip zakat di Wilayah Persekutuan di mana secara jelas melanggar pensyariatan zakat hingga menjejaskan kutipan agensi yang dipertanggungjawabkan.

Pengerusi PPZ MAIWP, Datuk Che Mat Che Ali berkata, pihaknya mengesan aktiviti terbabit yang jelas melanggar undang-undang sedia ada, pada masa sama menjejaskan hasil kutipan yang sepatutnya memberi manfaat kepada penduduk Wilayah Persekutuan.

“Kita mengesan kegiatan amil tanpa tauliah yang aktif mengutip zakat secara tidak sah daripada orang ramai dan syarikat di Wilayah Persekutuan kerana mereka menganggap di sini ‘lubuk’ untuk mereka sedangkan kita mempunyai asnaf paling tinggi di Malaysia iaitu lebih 20,000 orang.

“Amalan memungut zakat di luar kawasan yang ditetapkan kepada seseorang amil itu sehingga melangkaui negeri lain adalah bercanggah dengan hukum Islam.

“Ini kerana setiap negeri sudah mempunyai Majlis Agama Islam atau pihak berkuasa zakat yang diberi kuasa memungut dan mengagih zakat dalam negeri masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Siri ke-139 bertajuk 'Zakat: Instrumen Kewangan Sosial' di Dewan Karangkraf di sini semalam.

Che Mat berkata, perkara ini adalah isu nasional yang mana mereka guna istilah zakat merentasi sempadan biarpun ia agak sensitif tetapi perlu dibahaskan.

“Kita sudah menangkap dan mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak terbabit. Tindakan mereka ini menafikan hak golongan asnaf Wilayah Persekutuan yang betul-betul memerlukan bantuan zakat.

“Bagaimanapun kita masih mempunyai ruang sebelum tindakan perundangan kerana kita mengambil pendekatan yang selaras pensyariatan zakat namun akan mengambil tindakan apabila masanya sudah tiba,” katanya.

Sehubungan itu katanya, umat Islam di negeri ini perlu memastikan pembayaran zakat dilakukan kepada amil yang dilantik MAIWP atau negeri masing-masing.

“Kita minta pembayar zakat melaksanakan tanggungjawab membayar zakat menerusi amil sah yang dilantik oleh MAIWP. Setiap amil bertauliah memiliki kad kuasa yang sah untuk mengutip zakat di sini," katanya.

Kata Che Mat, pihak terbabit boleh didakwa di bawah Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 di bawah Seksyen 33 dan Seksyen Akta Kesalahan Jenayah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

“Mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun, atau denda maksimum RM3,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.

Wacana Siri ke-139 bertajuk 'Zakat: Instrumen Kewangan Sosial' yang berlangsung di Dewan Karangkraf semalam. - FOTO ROSLI TALIB
Wacana Siri ke-139 bertajuk 'Zakat: Instrumen Kewangan Sosial' yang berlangsung di Dewan Karangkraf semalam. - FOTO ROSLI TALIB

Dalam pada itu, beliau berkata, setiap umat Islam perlu menanam kefahaman serta keyakinan apabila menafkahkan sebahagian hartanya ke jalan ALLAH SWT termasuk berzakat, pasti ada pulangannya.

“Tidak dinafikan sudah menjadi lumrah manusia berasa cinta dan sayangkan harta yang dimilikinya. Sukar bagi mereka untuk memberi hartanya kepada orang lain sekiranya tidak menerima sebarang ganjaran.

“Malah, ada segelintir pihak sanggup berhabis duit pergi melancong daripada mengeluarkan zakat. Yakinlah akan janji ALLAH SWT dengan berzakat tidak akan mengurangkan harta seseorang, malah akan bertambah keberkatan dan kesuburan harta si pemiliknya,” katanya.