Rumah Ngaji Melaka perintis program QRQ

Sebahagian peserta yang menyertai program Excellent Tranning QRQ dan Tadabbur Surah Ar Rahman di Dewan Kuliah Masjid Al-Azim hari ini.
A
A

MELAKA TENGAH - Rumah Ngaji Melaka mencatat sejarah apabila menjadi perintis program Excellent Tranning Quantum Reading Quran (QRQ) dan Tadabbur Surah Ar Rahman yang pertama kali diadakan tahun ini.

Bertempat di Dewan Kuliah Masjid Al-Azim, seramai 80 peserta menyertai majlis ilmu berkenaan termasuk peserta luar dari Melaka seperti Bera, Pahang dan Batu Pahat, Johor.

Pengasas dan Master Trainer Metode QRQ, Abu Rabbani berkata, program bertujuan memantapkan tajwid dalam kalangan peserta supaya mereka bukan sahaja dapat membaca al-Quran dengan teratur dan tersusun malah memahami makna ayat itu.

Abu Rabbani
Abu Rabbani

Menurutnya, apabila dapat memperbetulkan bacaan ayat al-Quran, seseorang akan lebih tenang dan ketagih untuk terus membaca.

"Ketagihan dimaksudkan adalah sebagai 'demam ngaji' kerana kita akan rasa ketagih jika tidak dapat baca al-Quran biarpun sehari meninggalkannya.

"Maka untuk memulakan langkah itu kita harus menyemai dan menekankan kepada orang ramai untuk belajar membaca al-Quran dengan tajwid yang betul," katanya ketika ditemui pada program berkenaan di Masjid Al- Azim Bukit Palah di sini hari ini.

Sementara itu, peserta program Mohd Zaid Tumiran, 60, berkata, walaupun terpaksa menempuh perjalanan beratus kilometer dari rumahnya di Triang, Pahang namun semangat untuk belajar dan menguasai ilmu tajwid mendorong dia dan isteri hadir pada majlis itu.

Mohd Zaid
Mohd Zaid

Menurutnya, walaupun telah khatam al-Quran, itu bukanlah penamatnya sebaliknya ia adalah permulaan untuk mendalami ilmu tajwid agar bacaan lebih cantik dan mengikut tanda yang terdapat pada al-Quran.

"Banyak manfaat yang saya dapat dari program ini contohnya dalam al-Quran terdapat tanda berwarna merah, hijau dan sebagainya. Walaupun kita tidak tak dapat nak baca hukumnya tapi kita boleh baca bertajwid seperti di mana perlu kita membaca berdengung dan banyak lagi.

"Semoga program ini diperbanyakkan lagi bagi membantu orang ramai mempelajari tajwid dengan cara mudah dan kelainan yang tersendiri," katanya yang juga Penggerak Rumah Ngaji Bera.