Artikel bidas PM: DAP terima penjelasan Ronnie Liu

Ronnie Liu
Ronnie Liu
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa disiplin DAP hari ini menerima penjelasan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu mengenai artikelnya yang membidas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi jawatankuasa itu, Chong Chieng Jen berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek itu telah memberi penjelasan lanjut berhubung surat tunjuk sebab yang dikeluarkan terhadapnya.

"Kami telah meneliti penjelasannya dan jawatankuasa ini menerima (penjelasannya)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Chieng Jen berkata, jawatankuasa itu menasihatkan semua anggota DAP pada masa akan datang untuk tidak mengeluarkan kritikan terbuka terhadap rakan gabungan mereka tetapi sebaliknya menggunakan saluran dalaman untuk menyelesaikan perbezaan.

Bulan lalu, Setiausaha Penganjuran DAP, Anthony Loke merujuk Ronnie kepada jawatankuasa disiplin mengenai artikelnya yang diterbitkan dalam sebuah portal berjudul Mahathir: The paper tiger.

Menyifatkannya sebagai pandangan peribadi dan tidak mencerminkan pendirian DAP, Anthony yang juga Menteri Pengangkutan menegur Ronnie kerana membuat kenyataan 'tidak bertanggungjawab' itu.

Katanya, tindakan Ronnie itu sangat serius dan juga sebagai sabotaj parti.

Liu menerusi sebuah laporan portal berita tempatan itu mendakwa Pakatan Harapan (PH) masih boleh membentuk kerajaan tanpa Bersatu.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan itu beliau turut mempersoalkan pendirian Perdana Menteri menerima bekas ahli politik UMNO sebagai ahli Bersatu dan kegagalan Dr Mahathir menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.