Dua beradik perempuan antara empat ditahan aktif samun

Antara barang yang dirampas daripada keempat-empat supek.
A
A

BUKIT MERTAJAM - Dua beradik perempuan antara empat individu yang diberkas polis awal pagi tadi selepas dipercayai aktif melakukan jenayah samun dan ragut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, keempat-empat suspek berusia di antara 19 hingga 31 tahun itu ditahan jam 1 pagi di sebuah rumah di Taman Angsana, Kulim.

Menurutnya, sebelum ini polis menerima laporan daripada seorang pekerja kedai serbaneka di Jalan Ushaniaga di sini yang disamun kumpulan berkenaan dalam kejadian pada 23 Oktober lalu.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, dua suspek lelaki dan perempuan masuk ke dalam kedai berkenaan kononnya sebagai pelanggan sebelum suspek lelaki mengacukan besi panjang ke arah mangsa dan mengarahkannya membuka laci kaunter serta menyerahkan telefon bimbit.

"Bimbang dicederakan, mangsa berusia 20 tahun hanya mengikut kehendak suspek dan mereka kemudiannya melarikan diri selepas menyedari ada pelanggan lain masuk ke kedai berkenaan.

"Suspek sempat mengambil wang tunai sebanyak RM36 serta sebuah telefon bimbit milik mangsa sebelum melarikan diri dengan kereta jenis Perodua Viva," katanya ketika dihubungi di sini.

Nik Ros Azhan berkata, kesemua suspek berjaya ditahan bersama rampasan pelbagai barangan di sebuah rumah di Kulim, selain turut mengaku terlibat dengan kejadian samun di kedai serbaneka berkenaan.

Katanya, berdasarkan modus operandi kumpulan terbabit, dua daripada mereka masuk ke dalam kedai untuk mendapatkan wang tunai dan barangan berharga, manakala dua orang lagi bertindak sebagai pemantau dan bersiap sedia dalam kereta Perodua Viva yang disewa untuk melarikan diri.

"Selain kedai serbaneka, mereka juga pernah samun kedai telefon bimbit, mengumpil peti wang di kedai dobi layan diri, curi bateri kenderaan, curi besi dan ragut," katanya.

Nik Ros Azhan berkata, semakan dibuat mendapati dua suspek lelaki mempunyai rekod lampau bersabit jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, kesemua suspek yang tidak bekerja itu direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.