Rantai emas dilarikan penyamun

Hanyan
Hanyan
A
A
A

KEMAMAN - Seorang peniaga kedai runcit berputih mata apabila rantai emas bernilai RM2,000 disamun seorang lelaki yang berpura-pura menjadi pelanggan di Kampung Paya Berenjut kelmarin.

Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 11.30 pagi ketika wanita berusia 66 tahun itu berada di kedai runcitnya sebelum didatangi seorang lelaki yang mahu membeli 10 biji telur.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, selepas membuat pembayaran, suspek beredar dari kedai namun kembali semula beberapa minit kemudian sambil memberitahu ingin membeli barangan lain.

“Peniaga itu kemudiannya pergi mengambil barang yang diminta, namun suspek bertindak menarik rantai leher mangsa sebelum melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal.

“Mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Chukai untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas Hanyan, usaha mengesan suspek yang dipercayai berusia 20-an itu giat dijalankan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun.

Katanya, polis juga akan mendapatkan maklumat daripada orang awam yang memaklumkan kejadian sama turut berlaku di kedainya.

“Kita akan hubungi orang awam ini bagi mengenal pasti identiti suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel Berkaitan: