Sudah sampai masa wujud 'penguat kuasa' kutip zakat

Prof Madya Dr Azman ketika bercakap pada wacana ke-139 bertajuk 'Zakat: Instrumen Kewangan Sosial' di Dewan Karangkraf, di sini hari ini. - FOTO ROSLI TALIB
Prof Madya Dr Azman ketika bercakap pada wacana ke-139 bertajuk 'Zakat: Instrumen Kewangan Sosial' di Dewan Karangkraf, di sini hari ini. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Pengarah Institusi Pengurusan & Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), Prof Madya Dr Azman Ab Rahman menyarankan untuk mewujudkan jawatan 'penguat kuasa amil' bagi menjalankan kerja-kerja mengutip zakat.

Beliau berkata, apa yang boleh dilakukan, amil sedia ada ketika ini perlu diberi kuasa dalam kes berkaitan zakat seperti mengeluarkan surat kepada individu yang tidak membayar zakat.

Menurutnya, penguat kuasa amil bukan hanya berkuasa untuk mengeluarkan surat malah jika individu enggan membayar zakat, penguat kuasa ini boleh mengheret mereka ke mahkamah.

“Sebenarnya kita ada membuat perbincangan di peringkat negeri dan peringkat penguat kuasa, pihak berkenaan juga menyarankan supaya penguat kuasa amil ditubuhkan.

“Penguat kuasa amil perlu dilatih contohnya mereka dilatih dalam tempoh tiga hingga enam bulan dengan isu dan penguatkuasaan,” katanya pada siri wacana ke-139 bertajuk 'Zakat: Instrumen Kewangan Sosial' di Dewan Karangkraf hari ini.

Katanya, perkara ini perlu dilihat dan diberi perhatian supaya masyarakat tidak melihat zakat ini sebagai sesuatu yang mudah sebaliknya ia adalah wajib.

“Jika sudah wajib tetapi masih dilanggar akhirnya penguatkuasaan memang perlu dilakukan,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut mencadangkan Kementerian Pendidikan supaya memasukkan topik berkenaan zakat dalam sukatan mata pelajaran Pendidikan Islam arus perdana sekarang ini.

Artikel Berkaitan:

“Berdasarkan pemerhatian saya, topik zakat hanya ada di sekolah menengah iaitu tingkatan dua dan tingkatan tiga.

Wacana ke-139 bertajuk 'Zakat: Instrumen Kewangan Sosial' yang berlangsung di Dewan Karangkraf, di sini hari ini. - FOTO ROSLI TALIB
Wacana ke-139 bertajuk 'Zakat: Instrumen Kewangan Sosial' yang berlangsung di Dewan Karangkraf, di sini hari ini. - FOTO ROSLI TALIB

“Kita mahu topik berkenaan zakat turut diajar di peringkat tadika dan sekolah rendah secara terperinci,” katanya.

Beliau berkongsi, anaknya yang bersekolah tadika dan berumur lima tahun fasih apabila menjelaskan perihal menunaikan haji.

“Sedangkan menunaikan zakat juga terkandung dalam rukun Islam dan sepatutnya peringkat kanak-kanaklah perlu diajar kerana mereka cepat ingat,” jelasnya.