Pengerusi DAP Kuala Nerang letak jawatan

Papan tanda DAP Cawangan Kuala Nerang di kedai milik Keen Tong telah diturunkan oleh beliau semalam. Gambar kecil: Keen Tong
Papan tanda DAP Cawangan Kuala Nerang di kedai milik Keen Tong telah diturunkan oleh beliau semalam. Gambar kecil: Keen Tong
A
A
A

KUALA NERANG - Pengerusi Penaja DAP Cawangan Kuala Nerang, Ong Keen Tong meletakkan jawatan serta-merta selepas tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan Kedah merobohkan sebuah stesen minyak bagi pembinaan Kedah Rubber City (KRC) di Kampung Padang Cederai, Padang Sanai Ahad lalu.

Keen Tong turut meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) kerana mendakwa gagal mendapatkan keadilan untuk pemilik stesen minyak itu, Liew Han Eng yang tidak diberikan sebarang pampasan berikutan stesen minyak berkenaan melanggar syarat dibina atas tapak pertanian.

Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) selaku kerajaan yang didakwa membawa slogan mengutamakan rakyat seharusnya mencari kaedah terbaik dalam menyelesaikan masalah tersebut untuk memberikan keadilan dan kebajikan kepada semua lapisan masyarakat.

"Keputusan saya untuk meletakkan jawatan selaku Pengerusi Penaja DAP Cawangan Kuala Nerang dan Ahli Majlis MDPT adalah muktamad. Saya juga telah menurunkan papan tanda DAP di cawangan saya dan gambar yang tular tentang penurunan papan tanda itu semalam adalah benar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Jelasnya, beliau selaku ahli DAP mendakwa turut kecewa dengan Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew selaku Exco Kedah kerana gagal membantu pihaknya untuk menangguhkan operasi perobohan buat sementara waktu.

Operasi merobohkan stesen minyak di Kampung Padang Cederai, Padang Sanai Ahad lalu untuk memberikan laluan kepada pembinaan KRC.
Operasi merobohkan stesen minyak di Kampung Padang Cederai, Padang Sanai Ahad lalu untuk memberikan laluan kepada pembinaan KRC.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Munir Zakaria berkata, pihaknya menyokong setiap usaha baik membangunkan negeri oleh kerajaan Kedah namun menolak usaha yang merugikan atau menganiaya mana-mana pihak terutama rakyat.

Menurutnya, beliau bersimpati dengan mangsa yang rumahnya dirobohkan dan berharap pampasan sagu hati dapat diberikan termasuk memberikan sebuah rumah sebagai ganti.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa terkilan kerana rumah dirobohkan sebelum dibayar sebarang sagu hati malah mereka juga dukacita kerana rayuan untuk memunggah sendiri struktur rumah tidak dapat," katanya.

Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, rundingan dan notis telah diberikan sejak 2017 lagi.

Menurutnya, pemilik enam rumah yang dirobohkan akan diberikan keutamaan dalam senarai menunggu Program Perumahan Rakyat (PPR) dan tiada pampasan diberikan kerana rumah-rumah tersebut dibina di atas tanah kerajaan.