X

Kindly register in order to view this article
!

Tangani anti persaingan dan monopoli perniagaan: TPM

Dr Wan Azizah menyampaikan ucapan penutup Simposium Persaingan Setara Kos Sara Hidup hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Perlakuan anti persaingan seperti kartel, penyalahgunaan kuasa atau monopoli perlu ditangani bagi menjamin pertumbuhan ekonomi negara yang mampan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) berkata, perlakuan itu menyumbang kepada herotan atau gangguan kepada pasaran perniagaan yang seharusnya bersaing secara sihat dan kompetitif.

"Antara contoh amalan perniagaan yang tidak mementingkan keadilan sosial itu ialah apabila golongan monopoli pasaran secara bersama menetapkan harga jualan jauh melebihi kos pengeluaran demi meraih keuntungan maksimum," katanya.

Berucap pada Simposium Persaingan Setara dan Kos Sara Hidup di sini hari ini beliau berkata, persaingan yang setara akan memberikan manfaat kepada perusahaan kecil dan rakyat.

"Persaingan yang setara secara tidak langsung akan melindungi rakyat kerana ia akan memastikan produk dan perkhidmatan dapat ditawarkan dengan harga yang berpatutan, berkualiti serta mempunyai banyak pilihan,” katanya.

Dengan menggalakkan persaingan setara, Dr Wan Azizah berkata, pengusaha akan menjadi lebih kreatif, cekap dan berdaya saing, seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Antara amalan persaingan lain yang tidak sihat ialah penyalahgunaan kedudukan dominan sesebuah perusahaan yang menyebabkan perusahaan lain terpaksa memberhentikan operasi kerana tidak dapat bersaing ataupun terus terkeluar daripada pasaran.

"Pengguna akan rugi jika mereka mempunyai kurang pilihan, berhadapan dengan harga tinggi dan barangan yang berkemungkinan tidak bermutu,” katanya.

Ekonomi pula tidak akan berkembang kerana perusahaan baharu tidak dapat menembusi pasaran dan perusahaan sedia ada tidak mempunyai insentif untuk menjadi inovatif dan cekap, katanya.

Dr Wan Azizah berkata, penguatkuasaan Akta Persaingan 2010 adalah penting ke arah membentuk pasaran yang kompetitif dan sihat dengan melindungi proses persaingan untuk kepentingan pengguna, perniagaan dan ekonomi.

"Penguatkuasaan akta itu juga membantu dalam memupuk kecekapan, inovasi dan sifat keusahawanan untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan berkualiti tinggi dengan harga berpatutan," katanya.

Beliau berkata, pasaran yang bebas dan berdaya saing akan menarik lebih ramai pemain industri ke dalam pasaran seiring matlamat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara tumpuan pelaburan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus