Negara berhak semak semula harga air ke Singapura, kata menteri

Dr Xavier Jayakumar
Dr Xavier Jayakumar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia masih mempunyai hak untuk menyemak semula harga air yang dibekalkan ke Singapura walaupun negara jiran berkenaan mendakwa negara kehilangan hak berbuat demikian setelah gagal melakukan perkara itu pada 1987 sehingga 2012, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr A Xavier Jayakumar berkata, Jabatan Peguam Negara telah mengesahkan perkara itu berdasarkan klausa 14 Perjanjian 1962 yang menyebut semakan harga air masih boleh dilakukan setiap tahun selepas perjanjian itu ditandatangani.

Katanya, pihaknya bersedia untuk mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Singapura berhubung isu itu.

“Jadi kita harap Singapura boleh terima cadangan daripada kerajaan Malaysia untuk kita adakan perbincangan isu ini. Kita perlu lakukan sesuatu kerana kadar (tiga sen bagi setiap 1,000 gelen air) ini tidak munasabah dan terlalu murah jika dibandingkan dengan kadar penjualan air mentah di negara lain,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Santhara Kumar Ramandu (PH-Segamat) yang bertanyakan tentang isu penjualan air mentah kepada Singapura dan langkah kementerian untuk memastikan kemampanan bekalan air dalam jangka panjang.

Contohnya Xavier berkata, China menjual air ke Hong Kong pada kadar RM14.50 untuk 1,000 gelen, dan China-Taiwan (RM5.80) malah penjualan air mentah dalam negara seperti di Pahang-Selangor juga tinggi iaitu (46 sen) dan Johor-Melaka (50 sen).

Sehubungan itu beliau berkata, tidak wajar untuk Malaysia terus menjual air kepada Singapura dengan kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen.

Katanya, walaupun kementerian menghormati obligasi Malaysia seperti yang termaktub dalam perjanjian itu, Malaysia telah berkorban sumber air untuk kepentingan pihak lain dengan mempertaruhkan kepentingan seluruh rakyat Johor.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, banyak perbelanjaan juga perlu dikeluarkan bagi memastikan Singapura dapat mengekstrak 250 juta gelen air mentah sehari dari Sungai Johor, malah kementerian sendiri membelanjakan hampir RM100 juta bagi membina baraj Sungai Johor untuk mengelak kemasukan air masin ke sungai itu.

Sehubungan itu beliau sekali lagi menegaskan pelaburan besar kerajaan itu tidak setimpal dengan harga tiga sen bagi setiap 1,000 gelen air yang dijual dan berharap kerajaan Singapura dapat bersikap terbuka dalam soal tersebut. - Bernama