X

Kindly register in order to view this article
!

'Tak perlu komen keputusan mahkamah'

Laporan Sinar Harian berhubung reaksi Perdana Menteri terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintah Najib membela diri terhadap tujuh pertuduhan penyelewengan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd.
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menasihatkan semua pihak agar tidak mengeluarkan komen terhadap keputusan mahkamah melainkan menggunakan saluran yang betul.

Menurutnya, sekiranya ada pihak tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah, mereka perlu terus pergi ke mahkamah dan menyuarakannya di sana.

Ditanya adakah kenyataan beliau itu ditujukan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen Kota Bharu itu menegaskan ia untuk semua ahli politik.

“Bukan sahaja PM, macam saya sendiri ataupun mana-mana orang politik bila bercakap mengenai 'rule of law' tentang pengasingan kuasa.

“Contohnya kita dari legislatif dan PM atau menteri mereka tergolong juga dalam eksekutif. Jadi bila keputusan dibuat oleh judisiari, tidak perlu ada komen yang boleh dilihat sebagai campur tangan daripada badan itu,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Tambah beliau, keputusan mahkamah masih belum muktamad dan tidak sepatutnya mana-mana pihak yang dilihat ada kepentingan mengeluarkan apa-apa kenyataan.

“Sebagai contoh yang dituduh di mahkamah adalah pemimpin pembangkang iaitu bekas Perdana Menteri.

“Apabila mahkamah membuat keputusan memanggil dia bela diri, sepatutnya orang yang ada kepentingan macam pihak kerajaan lebih berhati-hati apabila memberikan sebarang komen.

"Terkejut atau tidak kerana itu dilihat sebagai gangguan daripada satu pihak kepada pihak yang lain,” katanya.

Tegas beliau, komen yang paling baik ialah 'saya tidak mahu komen'.

“Itu komen yang baik untuk sesiapa sahaja. Ini kerana bila bercakap tentang keputusan daripada mahkamah, ia terlalu bahaya untuk beri komen,” katanya.

Sebelum ini, Dr Mahathir dilaporkan berkata, beliau terkejut dengan reaksi Datuk Seri Najib Tun Razak yang terkejut mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkannya membela diri dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Menurutnya, seluruh dunia tahu bahawa bekas Perdana Menteri itu bersalah namun perlu mengikut kedaulatan undang-undang.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya lagi terkejut Najib terkejut'


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus