Dadah bernilai RM400,000 ditumpaskan

Mat Kasim (tengah) menunjukkan paket dadah yang berjaya dirampas ketika sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini, hari ini.
Mat Kasim (tengah) menunjukkan paket dadah yang berjaya dirampas ketika sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini, hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Polis menahan seorang pemandu jentolak berusia 41 tahun yang disyaki dalang pengedaran dadah dalam serbuan di kawasan rumah kedai di Taman Demensi Alor Gajah Sabtu lalu.

Ketika operasi jam 2 petang itu, polis turut merampas 8.2 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM400,000 selain menyita dua bentuk cincin emas bernilai RM2,100.

Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim berkata, polis turut menemui lapan paket dadah yang dibungkus dalam plastik teh Cina dan disorokkan dalam sebuah beg kain hijau dalam sebuah kereta jenis Perodua Alza.

Menurutnya, bapa kepada lima anak itu kini direman selama tujuh hari sehingga 16 November ini bagi membantu siasatan.

"Kita yakin individu berasal dari Johor itu menjadikan negeri ini sebagai transit untuk memasarkan dadah di pasaran tempatan.

"Polis juga tidak menolak individu itu mungkin mempunyai rangkaian lain kerana nilai dadah agak tinggi selain modus operandinya menggunakan peket teh Cina yang sering kali ditumpaskan pihak polis," katanya ketika sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Shahrul Laili Masduki dan Ketua Polis Daerah Alor Gajah Suprintendan, Arshad Abu.

Mat Kassim berkata, ujian saringan urin mendapati suspek negatif dadah selain tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Artikel Berkaitan:

Serbuan membabitkan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Melaka dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.