Peluang 15 pemain muda berguru di Cerezo Osaka

Hamada (kiri) dan Morishima pada sidang media MoU antara Yakult (Malaysia) Sdn Bhd dan Cerezo Osaka di Kuala Lumpur semalam. -Foto Bernama
Hamada (kiri) dan Morishima pada sidang media MoU antara Yakult (Malaysia) Sdn Bhd dan Cerezo Osaka di Kuala Lumpur semalam. -Foto Bernama
A
A
A

15 pemain bola sepak bawah 15 tahun Malaysia bukan sahaja berpeluang menyaksikan secara langsung perlawanan Liga Jepun (J-League).

Malah, mereka berpeluang beraksi menentang pasukan Akademi Cerezo Osaka dalam satu perlawanan persahabatan di Osaka, Jepun pada Jun 2020.

Peluang tersebut terbuka berikutan satu Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Yakult (Malaysia) Sdn Bhd dan Kelab Bola Sepak Cerezo Osaka, Jepun di sini semalam yang menyaksikan pengeluar minuman probiotik utama negara itu dilantik sebagai rakan kongsi strategik ASEAN untuk kelab Jepun itu.

Pengarah Urusan, Hiroshi Hamada menandatanganinya bagi pihak Yakult (M) Sdn Bhd manakala Cerezo Osaka diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Horoaki Morishima.

Berucap pada majlis tersebut, Hamada berkata, syarikatnya akan memberikan sokongan kepada pelbagai aktiviti yang dianjurkan kelab Jepun itu di Malaysia dan ini termasuklah ‘Malaysia Dream Project 2020’.

Hamada mendedahkan projek tersebut adalah hampir serupa dengan ‘ASEAN Dream Project’, yang melibatkan tiga negara iaitu Malaysia, Thailand dan Myanmar, September lepas namun mereka merubah fokus untuk penghasilan bakat dari Malaysia tahun hadapan.

“Kami menjangkakan kira-kira 100 peserta dari setiap kawasan, iaitu kawasan tengah, semenanjung (kawasan utara atau selatan) dan juga kawasan Borneo sama ada Sabah atau Sarawak untuk proses pemilihan,” kata Hamada sambil memberitahu beberapa jurulatih dari akademi Cerezo Osaka akan menilai bakat setiap pemain semasa proses pemilihan.

Sementara itu, Morishima berkata, mereka yang terpilih akan menjalani latihan tiga hari di Osaka, sebelum berhadapan pasukan akademi Cerezo Osaka dalam perlawanan persahabatan, selain peserta akan di bawa ke padang latihan kelab tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Selepas itu, terpulang kepada jurulatih Cerezo Osaka, sama ada memberikan peluang kepada 15 pemain tersebut untuk menjalani latihan percubaan bersama pasukan itu atau pulang ke Malaysia.

"Namun, diharapkan beberapa pemain Malaysia akan diberikan peluang menunjukkan bakat mereka,” katanya yang juga bekas pemain antarabangsa Jepun yang bermain bersama Cerezo Osaka selama 17 tahun, sebelum dilantik sebagai presiden kelab pada Disember 2018.

Untuk rekod, Yakult Malaysia dengan kerjasama Televisyen Osaka dan Cerezo Osaka melancarkan Asean Dream Project pada 2018 dan 2019 dalam mencari bintang bola sepak masa hadapan bagi rantau ASEAN.

Tiga negara ASEAN iaitu Malaysia, Vietnam dan Thailand terpilih untuk edisi 2018 sebelum Myanmar menggantikan Vietnam untuk edisi 2019 yang berlangsung pada September.

Setiap negara diberikan lima slot di mana pemain yang terpilih dihantar menjalani latihan selain menyaksikan perlawanan Liga Jepun. - Bernama