Mufti Wilayah ajak Safiey mengeteh

Mufti WP Dr Zulkifli Mohamad dan Safiey Ilias,
Mufti WP Dr Zulkifli Mohamad dan Safiey Ilias,
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebelum ini, media sosial kecoh apabila nama seorang usahawan kosmetik didedahkan di mahkamah. Belum begitu reda kehangatannya, kini netizen dikejutkan pula dengan tindakan berani seorang lagi usahawan, Safiey Ilias berkongsikan gambar ‘seksinya’.

Tindakannya mendapat reaksi pelbagai pihak termasuklah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad yang turut sama berkongsi pandangannya malah menulis surat terbuka buat Safiey.

Malah, beliau turut mengajak Safiey atau nama sebenarnya Safiuddin Ilias untuk duduk ‘mengeteh’ dan berbincang secara santai berhubung beberapa perkara demi kebaikan semua pihak.

“Kami menerima beberapa keping gambar saudara yang ditularkan beberapa hari lepas. Sejujurnya, saya tidak pasti sama ada ianya benar ataupun tidak...

“Saya tidak pasti sama ada ruang yang tersedia ini sesuai atau tidak. Namun, saya dengan rendah hati menjemput saudara ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk kita bertukar-tukar pandangan, berkongsi rasa hati dan mungkin ada sudut yang boleh saya bantu untuk kebaikan bersama.

“Pada dasarnya, saya cuba memahami perasaan dan kehendak saudara. Mungkin boleh sama-sama kita duduk mengeteh dan berbincang secara santai untuk kebaikan kita semua. Saya tunggu jawapan saudara” katanya dalam laman Facebook beliau.

Tambahnya, beliau berharap usahawan tersebut melihat surat terbuka itu sebagai satu luahan jujur, penuh kasih sayang daripada seorang saudara Muslim kepada saudaranya yang lain.

Mengimbas kembali ketika Safiey mengumumkan untuk berhijrah, Zulkifli menyatakan beliau antara individu yang amat gembira mendengar perkhabaran itu dan sudah tentu ia juga berita yang menggembirakan ibu bapa Safiey.

Artikel Berkaitan:

“Namun, laut tidak selalunya tenang. Saya faham dan mengikuti siri-siri tekanan yang saudara terima dalam usaha untuk kekal dengan ‘imej baru’. Dan, saya tahu yang ia amat-amat sukar untuk dilalui dan pahit untuk ditelan.

“Saya nampak saudara betul-betul berusaha untuk keluar daripada segala permasalahan tersebut namun ALLAH lebih mengetahui apa yang telah diaturkan-Nya.

“Sejujurnya, saya katakan saudara adalah antara insan yang istimewa dengan pelbagai kurniaan nikmat yang ALLAH anugerahkan kepada anda. Alangkah baiknya anugerah tersebut disyukuri mengikut neraca syariat seperti ajaran Nabi,” ujarnya.

Dalam catatan tersebut, Zulkifli turut berkongsikan hadis menceritakan bagaimana hebatnya sifat ALLAH yang berulang kali mengampunkan dosa umatnya selagi mereka meminta ampun dan bertaubat.

“Imam al-Nawawi berkata: ‘Hadis ini jelas pada sisi pendalilannya, bahawa walaupun dosa walaupun terulang seratus malah seribu atau lebih, dan dia bertaubat setiap kali daripadanya, maka taubatnya diterima dan gugur dosanya.

“Meskipun dia bertaubat dari semua (dosa) dengan sekali taubat setelah semua (dosa), maka taubatnya sah,” kongsi beliau.