Najib tak bersalah selagi tak dibuktikan bersalah

Hishammuddin
Hishammuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak seharusnya dianggap bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah.

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keputusan mahkamah semalam juga belum menetapkan sama ada Najib bersalah atau tidak, sebaliknya memutuskan Najib membela diri.

“Kita kena tengok proses mahkamah dan Najib dah buat keputusan untuk buat kenyataan bersumpah mahkamah dan diberikan ruang disoal balas pendakwaan. Itu satu keputusan tepat dan berani kerana rata-rata orang dalam kes ini nak lihat kebenaran.

"Kita nak tengok proses keadilan itu berjalan supaya orang ramai dapat lihat sendiri apa kebenarannya.

“Bila dia nak bagi bukti serta-merta, rela disoal balas, saya rasa ia membenarkan proses untuk kita mencari kebenaran,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan media sama ada keputusan mahkamah itu akan menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Semalam, Najib diperintah untuk membela diri terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram melibatkan sejumlah dana bernilai RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: SRC: Najib diarah bela diri

Artikel Berkaitan:

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Mohd Ghazali berkata, Najib mempunyai kepentingan dalam SRC dan kawalan penuh menyebabkan RM42 juta didepositkan ke akaun bagi kepuasan beliau.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin menegaskan, beliau tidak fikir kerajaan terutamanya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad campur tangan dalam kes melibatkan Ahli Parlimen Pekan itu.

“Kita dituduh macam itu masa kita jadi kerajaan. Asasnya pada akhirnya, institusi kehakiman mesti mempertahankan maruah, kredibiliti dan integriti mahkamah itu sendiri,” katanya.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa wujud campur tangan Dr Mahathir membabitkan kes dihadapi Najib.

Menurutnya, beliau dari awal sudah tahu memang ada campur tangan daripada Dr Mahathir kerana jika tiada, sudah pasti kes itu sudah lama digugurkan.