Hanya mahkamah layak tentukan status bantuan menteri sepanjang PRK

Azmi
Azmi
A
A
A

PONTIAN - Keputusan sama ada tindakan pemberian bantuan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai oleh menteri-menteri bertentangan peraturan pilihan raya, hanya layak ditentukan mahkamah.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Prof Dr Azmi Sharom berkata, kuasa penguatkuasaan SPR sangat terhad dan kes dianggap menyalahi peraturan undang-undang sepanjang kempen pilihan raya sewajarnya dilaporkan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, sekiranya kes itu dibawa ke mahkamah, pihak terlibat yang akan membuat keputusan.

"Sebenarnya senario sebegini lebih baik kerana ianya akan menjadi panduan kepada SPR untuk menambah baik akta pilihan raya.

"Banyak faktor kena ambil kira berhubung kes dibawa ke mahkamah dan institusi itu paling wajar membuat keputusan sama ada sesuatu tindakan salah atau tidak," katanya kepada media pada sesi lawatan ke pusat pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian hari ini.

Sementara itu, Dr Azmi menegaskan, sebanyak 90 kesalahan berkaitan kempen PRK Parlimen Tanjung Piai diterima Pegawai Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) sehingga hari ini.

Beliau berkata, laporan diterima kebanyakannya berkaitan kesalahan meletakkan kain rentang kempen pilihan raya dan gegantung tidak diletakkan nama pencetak.

Menurutnya, SPR turut dimaklumkan, sebanyak 31 laporan polis dan tiga laporan SPRM turut diterima kedua-dua agensi itu.

Artikel Berkaitan:

"Antara kes dirujuk kepada SPRM adalah dua kes laporan berhubung dakwaan pemberian kad sim percuma kepada pengundi dan satu laporan pemberian sagu hati RM1,000 kepada nelayan.

"Kesemua aduan dibuat terus oleh pengadu kepada SPRM," katanya.