Maut gara-gara elak babi

Mayat Izzul Fitri dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.
Mayat Izzul Fitri dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.
A
A
A

DUNGUN - Seorang remaja maut selepas motosikal dibonceng mengelak seekor babi melintas di Kilometer 4, Jalan Jongok Batu - Kuala Jengai, Hulu Dungun di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, Izzul Fitri Rosdi, 18 yang membonceng motosikal ditunggang rakan sebayanya, Muhammad Hafeezi Mohd Sham Suddin mahu pulang selepas berkelah di Air terjun Lubuk Kain.

Muhammad Hafeezi berkata, setibanya di lokasi, motosikal dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung ketika cuba mengelak seekor babi yang secara tiba-tiba melintas jalan.

"Binatang itu keluar secara tiba - tiba dan saya cuba mengelak daripada melanggarnya tapi tidak berjaya dan kami terus terjunam dalam gaung.

"Izzul tercampak dan saya tak boleh bangun sebab dihimpit motosikal dan cedera pada muka dan perut,” katanya.

Menurutnya, ketika mengelak binatang itu motosikal ditunggang melanggar beberapa batang pokok menyebabkan Izzul Fitri tercampak.

"Kawan lain turun membantu membawa naik saya dan Izzul. Mereka minta bantuan orang kampung dan ketika itu saya lihat Izzul sukar bernafas," katanya.

Izzul Fitri yang juga lepasan SPM dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Mas disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Klinik Desa Kuala Jengai pada jam 6.30 petang akibat kecederaan parah pada bahagian leher.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Supritenden Baharudin Abdullah berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun pada jam 10 malam untuk proses bedah siasat.