513 belia sertai Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera

Mohd Hatta (tiga dari kanan) menerima bingkai Ikrar Tube yang disampaikan oleh seorang peserta pada perasmian Program Tube 6.0 2019 peringkat kebangsaan di Kem Sintok, UUM kelmarin.
Mohd Hatta (tiga dari kanan) menerima bingkai Ikrar Tube yang disampaikan oleh seorang peserta pada perasmian Program Tube 6.0 2019 peringkat kebangsaan di Kem Sintok, UUM kelmarin.
A
A
A

SINTOK - Seramai 513 belia termasuk 29 peserta orang kurang upaya (OKU) terpilih menyertai program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) 6.0 2019 yang mengikuti latihan di enam buah pusat latihan dan kem di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, semua peserta akan melalui tiga fasa bagi mempersiapkan diri untuk memulakan perniagaan agar mempunyai daya tahan dari segi mental dan fizikal.

"Selepas menamatkan latihan, peserta akan dibimbing dan dipantau selama 12 bulan menerusi sistem buddy oleh kaunselor perniagaan SME Corp Malaysia.

“Sehingga kini seramai 4,422 belia bumiputera dilatih dengan 4,380 (99 peratus) daripada belia tersebut memulakan operasi perniagaan mereka dalam pelbagai bidang perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis perasmian Program Tube 6.0, 2019 peringkat kebangsaan di Kem Sintok, Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris dan Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM, Profesor Madya Dr Hendrik Lamsali dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Noor Azmi Mat Said.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hatta (dua dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Program Tube 6.0 2019 peringkat kebangsaan di Kem Sintok, UUM kelmarin.
Mohd Hatta (dua dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Program Tube 6.0 2019 peringkat kebangsaan di Kem Sintok, UUM kelmarin.

Menurutnya, penyertaan peserta OKU pada program tersebut adalah inisiatif kerajaan untuk membantu meningkatkan kapasiti dan ekonomi mereka supaya dapat menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.

“Peserta didedahkan dengan pelbagai modul latihan seperti Literasi Komputer, Kanvas Model Perniagaan, Pemasaran Digital dan Pengurusan Kewangan Perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, pada tahun ini konsep Tube turut dilaksanakan untuk program Tunas Usahawan Baitulmal (TUB) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Program ini adalah program rintis yang menyasarkan seramai 100 peserta daripada usahawan Baitulmal untuk mentransformasikan golongan asnaf daripada penerima zakat kepada pembayar zakat.

“Melalui program ini juga, usahawan di bawah bimbingan MAIWP dapat mengembangkan perniagaan dan menjadi pengeluar zakat dengan pendedahan terhadap modul keusahawanan, perkongsian maklumat, khidmat nasihat dan bimbingan perniagaan,” katanya.

Menurutnya, tahun ini usahawan di bawah bimbingan MAIWP akan menjalani latihan keusahawanan bersama peserta program Tube di Kem Eco Millennium, Selangor.