Kehadiran Tun M beri impak pecutan terakhir raih undi PRK

Karmaine bertemu dengan Calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Wendy Subramaniam pada Pengundian Awal PRK P165 Tanjung Piai di IPD Pontian hari ini. Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Karmaine bertemu dengan Calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Wendy Subramaniam pada Pengundian Awal PRK P165 Tanjung Piai di IPD Pontian hari ini. Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PONTIAN - Kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pontian malam esok diakui mampu menyemarakkan lagi kempen memenangkan calon Pakatan Harapan (PH) dalam pecutan terakhir sebelum hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, 16 November ini.

Calon PH, Karmaine Sardini berkata, kunjungan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mampu memberi impak besar kepada persediaan parti dalam menarik lebih banyak sokongan rakyat.

“Tun (Mahathir) ini ada aura tersendiri dan boleh memberikan impak yang besar kepada parti untuk meneruskan saingan dalam PRK ini. Kita juga mengharapkan beliau dapat menarik lebih banyak sokongan kepada PH.

“Insya-ALLAH sebab Tun ini memang dihormati, dikenali dalam dan luar negara, negarawan dan boleh dikatakan pemimpin ulung,” katanya ketika ditemui di Pusat Pengundian Awal Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai pengundian awal PRK Tanjung Piai hari ini, Karmaine berharap pihak terlibat dapat berfikir dengan terbuka selain memberikan sokongan kepada calon benar-benar layak.

“Kita harap semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan.

“Saya juga ingin memohon ketika undi awal ini, semua pihak dapat mengundi calon PH yang kini merupakan kerajaan. Jadi, sewajarnya mereka (pengundi awal) memberi sokongan kepada PH,” katanya.

Terdahulu, Hari Pengundian Awal PRK Tanjung Piai telah berlangsung di IPD Pontian yang dijangka membabitkan 280 pegawai dan anggota polis daerah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, undi awal berkenaan juga akan membabitkan dua saluran iaitu N55 (Pekan Nanas) dan N56 (Kukup).