Lombong pasir: Jangan dimonopoli satu pihak sahaja

Gambar hiasan (Gambar kecil: Tengku Rosfaizal Tengku Bahakeri Shah)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Tengku Rosfaizal Tengku Bahakeri Shah)
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang digesa menilai semula industri perlombongan pasir di negeri ini bagi mengelak aktiviti itu dimonopoli oleh pihak tertentu sahaja.

Pengerusi Permuafakatan Pengusaha Pasir Pahang (PPPP), Tengku Rosfaizal Tengku Bahakeri Shah berkata, tindakan kerajaan menubuhkan sebuah syarikat pengurusan industri pasir memberi kesan kepada pengusaha lain terutama urusan penjualan ke luar negara.

Beliau mendakwa, pihak yang dilantik akan menutup periuk nasi pengusaha lain dengan monopoli industri itu bagi mengaut keuntungan.

"Kerajaan negeri perlu kembalikan hak rakyat. Adalah lebih baik jika prosedur permohonan sebelum ini diuruskan Jawatankuasa Pembangunan Tetap (Pasir) di Pejabat Tanah dan Daerah sahaja bukan syarikat yang baru ditubuhkan kerajaan pada pertengahan tahun lalu.

"Industri perlombongan pasir ini seharusnya lebih terbuka dan bukan dimonopoli satu pihak sahaja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, industri perlombongan pasir yang sepatutnya ditambah baik dilihat semakin parah apabila ada segelintir individu yang mahu mengaut keuntungan secara bersendirian.

"Pejabat tanah dan daerah juga tidak mempunyai kuasa kerana semua permohonan mengeluarkan pasir perlu dibuat melalui syarikat itu. Ini bererti syarikat yang ditubuhkan kerajaan itu sahaja yang dipercayai mengagihkan konsesi pasir di seluruh Pahang.

"Jadi, saya minta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengambil cakna berhubung perkara ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Tengku Rosfaizal berkata, PPPO bercadang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat dakwaan itu.

"Selain itu kita memohon Menteri Air, Tanah dan Sumber asli menggantung permit eksport (AP) pasir di Pahang buat sementara waktu kerana tindakan ini bagi membolehkan siasatan dijalankan nanti sehingga selesai," katanya.