Hafizh teruja tunggang RC16

Aksi Hafizh menunggang jentera RC16 di Valencia.
Aksi Hafizh menunggang jentera RC16 di Valencia.
A
A
A
PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui teruja dengan jentera baharunya bersama Red Bull KTM Tech3 musim depan.

Hafizh yang akan menunggang RC16 berkata, beliau merasakan sudah ada satu perasaan yang baik dengan jentera baharunya walaupun baru pertama kali menunggangnya.

Justeru, beliau sudah tidak sabar untuk memulakan kerja bersama jentera itu bagi mendapatkan keserasian sebelum memulakan musim 2019.

"Saya sangat gembira berada di garaj KTM dan menjadi sebahagian daripada keluarga ini.

"Selepas menunggang RC16 saya ada satu perasaan yang baik bahawa motosikal ini agak baik ketika sesi tunggangang dan lebih bertenaga, tetapi sudah tentulah ada beberapa perkara yang perlu kami tukar bagi menyesuaikannya dengan corak tunggangan saya.

"Apa pun saya sangat gembira menunggang RC16 dan sudah tidak sabar untuk terus bekerja bersamanya sepanjang musim depan," katanya.

Di sesi pandu uji yang berlangsung di Litar Ricardo Tormo, Valencia, El pescao 55 mengakhiri sesi ujian tersebut di kedudukan ke-24 dengan catatan masa terpantas 1’34.233 daripada 20 pusingan.

"Kami tidak dapat banyak melakukan pusingan hari ini kerana pada waktu pagi, litar ini masih basah dan ramai penunggang lain sedang menunggu.

"Saya berjaya juga melakukan 20 pusingan dan selepas itu saya merancang untuk meneruskan tunggangan, namun hujan turun dengan lebat selama dua jam, jadi saya tidak dapat merasai tunggangan di litar kering," katanya yang akan berpasangan dengan rookie kelas premier, Miguel Oliveira musim depan.
Artikel Berkaitan:


Dalam sesi pandu uji itu, Oliveira berjaya menamatkan 33 pusingan dengan catatan masa terbaik 1’35.118 untuk berada di kedudukan ke-25.