Ketua Pegawai Eksekutif RSPO letak jawatan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pegawai Eksekutif Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), Datuk Darrel Webber akan meletakkan jawatan berkuat kuasa 16 Januari 2020 selepas lebih daripada lapan tahun menerajui pertubuhan tersebut.

Lembaga pentadbir akan memulakan dengan segera pencarian pengganti beliau, kata RSPO dalam satu kenyataan hari ini.

Semasa tempoh perkhidmatan beliau RSPO telah berkembang pesat daripada sebuah organisasi pelbagai pemegang kepentingan kecil dengan fokus utama di Asia Tenggara kepada sebuah organisasi global dengan ahli di lebih 92 negara.

Pengerusi Bersama lembaga pentadbir RSPO, Anne Rosenbarger dan Datuk Carl Bek-Nielsen berkata lembaga itu ingin mengucapkan terima kasih kepada Webber di atas khidmat beliau selama lebih lapan tahun kepada RSPO sebagai setiausaha agung dan kemudiannya ketua pegawai eksekutif.

“Ini malahan belum mengambil kira sumbangan besar yang beliau mainkan sebagai ahli sebuah pertubuhan alam sekitar bukan kerajaan sebelum menyertai organisasi. Darrel memainkan peranan penting dalam transformasi berterusan sektor minyak sawit,” kata mereka.

Sementara itu Webber berkata, ia bukan satu keputusan yang mudah untuk meninggalkan RSPO.

“Ia adalah sesuatu yang saya pertimbangkan selama berbulan-bulan. Saya perlu memulakan satu perjalanan baharu dan saya berbangga meninggalkan RSPO dalam kedudukan kewangan yang baik yang dicemburui ramai dan saya yakin ia akan menjadi peralihan yang lancar,” katanya.

Beliau berkata, semasa tempoh lapan tahun beliau menerajui organisasi itu, RSPO telah berkembang daripada hanya lima orang kakitangan kepada lebih 80 orang kakitangan, manakala keahlian meningkat daripada 300 kepada lebih 4,000.

Artikel Berkaitan:

“Saya amat berbangga dengan dengan pencapaian kita untuk melindungi alam sekitar kita, melindungi hak asasi manusia dan buruh mendapatkan manfaat kepada pekebun kecil dan bersama-sama menangani perubahan iklim,” kata Webber. - Bernama