IPD Batu Gajah tawar diskaun saman trafik dua hari

IPD Batu Gajah
IPD Batu Gajah
A
A
A

BATU GAJAH - Tawaran diskaun saman trafik sebanyak 50 peratus oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus mendapat sambutan baik orang ramai.

Sempena Hari Bertemu Pelanggan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah hari ini, lebih 500 orang menyerbu pekarangan balai meskipun baru satu jam kaunter bayaran dibuka.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, sebanyak enam kaunter disediakan untuk tempoh dua hari ini bagi memberi kemudahan kepada orang ramai melakukan semakan dan bayaran saman.

“Tawaran diskaun merangkumi semua jenis kesalahan trafik kecuali saman kemalangan, saman berstatus tiada kompaun (NC), saman OP Selamat tahun 2018, saman berstatus mahkamah dan saman berkaitan lori.

"Semua kaunter akan beroperasi dari jam 9 pagi hingga 4 petang, kita jangkakan bilangan pengunjung makin bertambah pada sebelah petang," katanya.

Menurutnya, selain pembayaran dan semakan saman, turut diadakan pameran jabatan siasatan jenayah, narkotik, trafik, kereta peronda polis (MPV) dan Pasukan Komando Polis (VAT 69).

"Pendaftaran Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang juga inovasi baru polis bagi membantu orang awam menyalurkan maklumat tentang jenayah juga turut diadakan.

“Jadi kita berharap orang ramai yang mempunyai saman tidak melepaskan peluang membuat bayaran dan mendapatkan informasi terkini daripada pameran diadakan," katanya.

Artikel Berkaitan: