55 peratus tanaman sawit negara terima sijil MSPO sehingga September

Teresa Kok
Teresa Kok
A
A
A

PONTIAN - Seluas 3.19 juta hektar atau 55 peratus daripada keseluruhan 5.85 juta hektar tanaman sawit di negara ini sudah menerima pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sehingga 30 September lepas, kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok Kok Suh Sim.

Teresa berkata, pensijilan itu meliputi 2.71 juta hektar estet dan ladang serta 475,000 hektar milikan pekebun kecil manakala kilang buah sawit yang menerima pensijilan itu melibatkan 313 kilang atau 70 peratus daripada keseluruhan kilang buah sawit di negara ini.

“Dalam tempoh sama, 139 daripada sejumlah 162 Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) di seluruh negara sudah menerima pensijilan MSPO yang melibatkan penyertaan 16,000 orang pekebun kecil persendirian (PKP) yang memiliki keluasan kawasan penanaman sawit seluas 62,600 hektar,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Taklimat MSPO dan Sesi Dialog Bersama Penanam Sawit Johor di Pekan Nanas di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) Chew Jit Seng dan Pengarah Bahagian Penyelidikan Integrasi dan Pengembangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Dr Ramle Moslim.

Teresa berkata di Johor, seramai 42 daripada 43 SPOC menerima pensijilan itu yang melibatkan seramai 3,992 orang PKP dengan keluasan tanaman sawit membabitkan 9,244 hektar.

Beliau berkata, bagaimanapun, jumlah itu sangat rendah kerana hanya melibatkan 4.2 peratus daripada keseluruhan 219,000 hektar tanaman sawit oleh PKP di negeri ini.

Menurutnya, pelaksanaan Skim Pensijilan MSPO merupakan langkah strategik bagi meningkatkan daya saing dan memperkukuhkan imej industri sawit negara dan sehubungan itu, PKP diseru supaya mendapatkan pensijilan itu.

“Skim Pensijilan MSPO akan memastikan industri sawit negara lebih mampan dan kompetitif sekali gus dapat membantu meningkatkan pendapatan para pengusaha sawit negara.

Artikel Berkaitan:

“Seperti sedia maklum industri sawit negara menghadapi cabaran, tohmahan dan kritikan khususnya dari pihak Kesatuan Eropah. Maka, pelaksanaan pensijilan MSPO ini adalah salah satu usaha negara untuk melindungi dan mengukuhkan industri sawit negara,” katanya. - Bernama