'Rugi sokong pembangkang hanya kerana tak puas hati dengan PH'

Anwar menyampaikan amanatnya ketika berkempen bagi PRK Parlimen Tanjung Piai di Taman Utama Pekan Nanas malam ini. - Foto Bernama
Anwar menyampaikan amanatnya ketika berkempen bagi PRK Parlimen Tanjung Piai di Taman Utama Pekan Nanas malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

PONTIAN - Penduduk di Tanjung Piai akan rugi sekiranya memilih pembangkang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai hanya disebabkan tidak berpuas hati dengan prestasi Pakatan Harapan (PH).

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana rakyat telah memilih PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) untuk menolak pemimpin pembangkang yang menyalahgunakan kuasa mereka.

“Memang ada masalah ekonomi, masalah kaum, masalah agama, masalah golongan nelayan, pekebun kecil, pekebun getah, kenyataan yang hina orang dan sebagainya.

“Ini isu kita akui ada tapi apakah ini menyebabkan kita tukar pendirian kita tentang kerajaan dan dasar seluruhnya?

“Sebab apa kita tukar dulu (tukar kerajaan)? Sebab kita tidak mahu pemimpin yang salah guna kuasa. Ini isu pokok bagi saya,” katanya ketika berucap pada Ceramah Pilihan Raya PH di Taman Utama, Pekan Nanas di sini malam ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menambah rakyat perlu mengakui bahawa kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masa ini sedang cuba sebaik mungkin untuk mencari jalan penyelesaian pelbagai isu bagi membawa kesejahteraan kepada semua.

Ini termasuk mewujudkan dasar yang adil untuk pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Ini sebab mengapa dalam PRK ini kita kena beri peluang kepada rakyat untuk lihat secara keseluruhan mengenai usaha-usaha kerajaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, beliau berharap agar pemimpin PH juga boleh memberi fokus kepada ekonomi negara dan bukan sebaliknya.

"Masalah nombor satu dalam negara ini adalah ekonomi, ini yang mesti kita selesaikan dan bukan bergaduh (sesama sendiri).

"Kita perlu fokus pada ekonomi negara, mutu pendidikan dan perkhidmatan kesihatan dan sebagainya,” katanya. - Bernama