RM100 juta bagi laksana projek baharu: Azmin

Azmin
Azmin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peruntukan RM100 juta bagi Kementerian Hal Ehwal Ekonomi di bawah Belanjawan 2020 adalah untuk pelaksanaan projek baharu, kata Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Bagaimanapun beliau menjelaskan bagi projek yang sedang berjalan dan sambungan, kementeriannya akan berunding dengan Kementerian Kewangan untuk mendapatkan peruntukan tambahan.

“Kementerian (Hal Ehwal Ekonomi) telah membentangkan dan memohon pertimbangan daripada Kementerian Kewangan... saya telah mendapat jaminan bahawa RM100 juta bagi tahun 2020 hanya untuk projek-projek baharu.

“Bagi projek-projek sambungan, Kementerian Kewangan sedang bantu supaya pembayaran dibuat mengikut jadual supaya tak menjejaskan perjalanan untuk menyiapkan projek berkenaan,” kata Mohamed Azmin pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, ini merupakan langkah awal kementerian tersebut dalam memastikan projek khas berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang penangguhan.

Beliau berkata, antara projek yang dipertimbangkan adalah seperti menaik taraf jalan, titi dan prasarana sekolah yang dapat memberikan kesejahteraan kepada penduduk khususnya di kawasan luar bandar.

“Projek yang dimaksudkan ini boleh dipohon oleh ahli-ahli Yang Berhormat dan disarankan permohonan ini dibuat melalui kementerian dan juga kerajaan negeri untuk pertimbangan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi,” katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan: