Polis Langkawi buka 30 kertas siasatan pinjaman tak wujud

Sebahagian daripada poster dan gegantung iklan pinjaman wang tidak berlesen dan pinjaman tidak wujud yang dirampas sekitar pulau ini bermula semalam dibakar di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi hari ini. - Foto Bernama
Sebahagian daripada poster dan gegantung iklan pinjaman wang tidak berlesen dan pinjaman tidak wujud yang dirampas sekitar pulau ini bermula semalam dibakar di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

LANGKAWI - Sebanyak 30 kertas siasatan melibatkan kes penipuan pinjaman tidak wujud dibuka bagi tempoh Januari hingga Oktober lepas, kata Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim.

Beliau berkata, menerusi siasatan awal mendapati modus operandi dilakukan penjenayah adalah dengan menggunakan poster atau iklan pinjaman dalam laman sosial Facebook untuk menarik perhatian mangsa.

"Setelah berminat (dengan iklan) mangsa diperlukan mengisi beberapa dokumen dalam laman itu dan kemudiannya diminta untuk membuat pembayaran deposit, duti setem, cukai pinjaman, insurans pinjaman dan kos peguam.

"Setelah mangsa memasukkan duit seperti yang diarahkan wang pinjaman yang dipohon tidak diperoleh. Setakat Oktober lepas polis telah membuka sebanyak 30 kertas siasatan berkenaan kes tipu pinjaman (tidak wujud)," katanya pada sidang media selepas tamat Op Vulture 2019 di sini hari ini.

Sebanyak 200 poster dan gegantung iklan pinjaman wang tidak berlesen serta pinjaman tidak wujud sekitar pulau ini berjaya dirampas dalam operasi dua hari bermula semalam yang melibatkan anggota polis, anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan serta Persatuan Pengguna Islam Langkawi.

Mengenai pinjaman wang tidak berlesen Mohd Iqbal berkata, pihaknya telah menerima lapan laporan setakat Oktober lepas.

Beliau turut menasihatkan orang ramai jangan mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman tidak berlesen bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. - Bernama

Artikel Berkaitan: