Wujudkah saman malu?

A
A
A

SEPERTI yang dijanjikan, rencana saya kali ini berkait dengan rencana saya pada minggu lalu iaitu memulakan saman fitnah.

Jadi, wujudkah istilah atau konsep saman malu di Malaysia? Seperti yang saya katakan dalam rencana saya sebelum ini, secara kasarnya, tiada istilah undang-undang ‘saman malu’ di negara ini.

Namun, saya berpandangan dalam keadaan tertentu, saman malu mungkin wujud tetapi dalam keadaan yang bagaimana? Apa yang pasti, saman malu tidak sama maksudnya dengan saman fitnah.

Jika anda dimalukan di khalayak ramai, contohnya dimaki hamun atau dipukul tanpa sebab, bolehkah anda menyaman seseorang itu kerana anda telah dimalukan?

Untuk isu sebegini, mahkamah masih agak keberatan untuk menerimanya kerana mungkin masih dilihat sebagai perkara remeh atau seolah-oleh menyalahgunakan proses mahkamah.

Biasanya, kes sebegitu menjadi kes di bawah siasatan polis kerana menggunakan kekerasan atau dalam situasi tertentu mungkin akan dibiar diam begitu sahaja.

Untuk mengambil tindakan saman sivil semata-mata kerana anda telah dimaki hamun di khalayak awam mungkin agak sukar untuk diterima oleh mahkamah, melainkan anda ialah individu yang terkenal atau bereputasi tinggi seperti selebriti atau ahli perniagaan.

Itupun, ia masih menjadi sukar untuk diterima oleh mahkamah atas banyak faktor lain seperti sama ada kejadian tersebut telah direkod dan disebarkan atau sebagainya.

Jadi situasi bagaimana yang membolehkan anda mengambil tindakan saman malu? Pada pandangan saya, saman malu boleh dilakukan dalam situasi atau kes yang melibatkan pelanggaran privasi seseorang individu.

Katakan, gambar atau video bogel anda telah disebarkan oleh seseorang dengan niat untuk memalukan atau mungkin juga untuk mengugut anda, anda mempunyai hak untuk mengambil tindakan saman terhadap individu tersebut kerana anda telah dimalukan oleh beliau, walaupun gambar atau video tersebut bukan satu bentuk fitnah.

Bagaimana pula jika gambar atau video lucah tersebut diambil sendiri oleh anda atau diambil oleh orang lain tetapi mendapat kebenaran daripada anda? Ini masih jatuh dalam konsep privasi melainkan jika anda sendiri yang menyebarkan gambar atau video lucah tersebut ke domain awam seperti di laman sosial.

Jika dikongsikan secara peribadi dengan orang yang anda percayai, kemudian disebarkan tanpa izin anda, sudah tentu anda berhak untuk mengambil tindakan ‘saman malu’ terhadap individu tersebut.

Saya lebih gemar untuk melihat konsep saman malu itu pada perspektif yang lebih positif dan terbuka berbanding memandang isu tersebut sebagai suatu isu yang tidak akan diterima atau dibincangkan oleh mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Undang-undang kita sentiasa berkembang. Jika ada sebarang tuntutan yang dibawa ke mahkamah, insya-ALLAH tuntutan tersebut akan dipertimbangkan sebaiknya selagi mana tuntutan tersebut tidak bersifat skandal, remeh dan menyusahkan, prejudis atau menyalahgunakan proses mahkamah.

Banyak kes di mahkamah yang melibatkan isu pelanggaran hak privasi (sila rujuk artikel saya bertajuk Isu pelanggaran hak privasi diterbitkan pada 13 Ogos 2019) yang boleh digunapakai dalam isu melibatkan penyebaran gambar atau video yang boleh membawa malu atau menjatuhkan maruah anda di khalayak ramai.

Malah, permohonan injunksi untuk menyekat penyebaran video atau gambar lucah tersebut juga boleh dilakukan.

Namun, walaupun konsep saman malu itu sebenarnya satu isu yang terpencil dan masih tidak mendapat pengiktirafan secara langsung daripada mahkamah, ia tidak bermakna anda dinafikan daripada menuntut hak anda di mahkamah.

Bayangkan, sedangkan isu mengenai tindakan saman mengenai gangguan seksual juga hanya diiktiraf oleh Mahkamah Persekutuan sekitar tahun 2016, inikan pula isu mengenai saman malu.

Insya-ALLAH, untuk rencana pada minggu hadapan saya akan menyentuh mengenai saman gangguan seksual, sama ada kita berhak untuk mengambil tindakan saman sivil jika kita telah diganggu secara seksual.

* Haeme Hashim ialah pengamal undang-undang di Kuala Lumpur dan pemerhati senario politik negara