Pendakwaan cadang dua saksi beri keterangan secara tertutup

Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar
Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar
A
A
A

IPOH - Pendakwaan perbicaraan kes rogol membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong hari ini memohon Mahkamah Sesyen Ipoh membenarkan dua saksi memberi keterangan sebagai saksi terlindung.

Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar berkata, permohonan itu dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009 bagi membolehkan perbicaraan dijalankan secara tertutup.

Menurutnya, dua saksi terbabit ialah saksi pertama iaitu mangsa sendiri seorang wanita warga Indonesia sementara saksi kedua yang identitinya tidak didedahkan.

"Dua saksi pendakwaan ini kita panggil dan sebaiknya kita habiskan keterangan mereka dahulu sebelum memanggil saksi-saksi lain.

"Di bawah Seksyen 12, 18 dan 20, memang ada peruntukan pengecualian kepada saksi di bawah Akta Perlindungan Saksi beri keterangan secara tertutup dan kita hanya membuat permohonan berdasarkan peruntukan undang-undang itu atas faktor keselamatan saksi," katanya ketika ditemui media hari ini.

Mahkamah menetapkan Rabu ini bagi keputusan permohonan daripada pihak pendakwaan berkenaan.

Terdahulu, pihak pembelaan diketuai Datuk Rajpal Singh memberitahu perbicaraan yang sepatutnya berlangsung hari ini ditangguhkan berikutan permohonan dikemukakan pihak pendakwaan.

Pada prosiding pengurusan kes itu pada 22 Oktober lalu, Hakim Norashima Khalid membenarkan saksi pertama memberi keterangan secara tertutup setelah dipersetujui pihak pendakwaan dan pembelaan.

Artikel Berkaitan:

Azhar berkata, saksi pertama akan memberi keterangan secara tertutup pada Rabu ini diikuti saksi kedua sekiranya mendapat kebenaran mahkamah.

"Hari ini saksi pertama hadir, tetapi tiada sebarang perbicaraan, mahkamah memerlukan masa untuk nilai semula keterangan pihak pendakwaan yang mahu keterangan kedua-dua saksi dijalankan secara tertutup," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Norashima Khalid hari ini disambung Rabu ini.

Pada 23 Ogos lalu, Paul Yong, 49, yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu mengaku tidak bersalah merogol pembantu rumahnya seorang warga Indonesia berusia 23 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, Paul Yong didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Peguam Leong Cheok Keng yang mewakili tertuduh akan menarik diri sebagai peguam bela.

ADUN Malim Nawar itu berkata, tindakan dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya berpandangan bahawa beliau tidak boleh terus menjadi peguam bela kerana pernah memberi keterangan kepada polis berhubung kes itu sebelum ini.

Prosiding perbicaraan yang bermula pada jam 9 pagi tadi ditangguhkan pada jam 12.30 tengah hari sebelum disambung semula 2.30 petang.

Pembantu rumah warga Indonesia yang juga saksi pertama kes itu tiba di mahkamah sekitar jam 8 pagi sementara Paul Yong yang menaiki kenderaan peribadi jenis BMW tiba pada 8.55 pagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Bicara kes rogol Paul Yong, mangsa hadir beri keterangan