X

Kindly register in order to view this article
!

Lebih 300 tong gas LPG disita

KPDNHEP Selangor menyita 336 tong gas LPG bernilai RM135,900 dalam operasi di sebuah stor di Meru, Klang hari ini.
A
A

KLANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menyerbu sebuah stor di Jalan 1 Meru di sini dan menyita 336 tong gas petroleum cecair (LPG) dianggarkan bernilai RM135,900.

Serbuan kira-kira jam 1 petang hasil maklumat dan risikan itu dijalankan selepas mengesyaki premis terbabit beroperasi sebagai tempat simpanan tong gas LPG secara haram.

Ketua Seksyen Siasatan Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Shamsul Nizam Khalil berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis terbabit dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-peraturan Barang Kawalan 1974.

Menurutnya, barangan yang disita adalah 100 tong gas LPG bersaiz 14 kilogram (kg), 236 tong gas LPG 50 kg, sebuah lori tiga tan dan sejumlah invois belian jualan LPG.

"Siasatan awal mendapati stor berkenaan dipercayai baru beroperasi sejak empat bulan lalu dengan memindahkan gas LPG daripada tong bersubsidi ke tong industri.

"Kita percaya tong gas yang diseleweng ini akan dijual semula mengikut harga pasaran," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, seorang lelaki tempatan berusia 40-an dipercayai pemilik premis ditahan untuk siasatan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!