'Ombak tarik kami dari kaki...'

Jenazah selamat dikebumikan pada jam 2 petang di Tanah Perkuburan Islam Felda Chiku 01 hari ini.Gambar kecil: Asiah
A
A

GUA MUSANG - 'Kejadian itu berlaku sekelip mata. Saya juga mangsa dan nyaris lemas seperti mereka bertiga," kata adik kepada mangsa lemas di Pantai Batu Layar Desaru, Kota Tinggi, Johor petang semalam.

Menurut Marlini Abdul Rahman, 34, dari Felda Chiku 01, kejadian terbabit amat perit untuk diingati kerana berlaku sepantas kilat dan sukar untuk dilupakan.

Bercerita mengenai kejadian terbabit, mereka 13 sekeluarga termasuk dua beradik kenalan adiknya, Siti Hajjar Adila Mohd Rohimi, 25, dan adiknya, Ummu Sulaiin, 23, tiba di pantai berkenaan pada jam 4 petang.

"Saya empat orang bersama mak, adik dan anak saudara ke rumah arwah di Pulai Indah, Johor pada Rabu manakala adik serta dua arwah dari Kuala Lumpur ke rumah kakak saya tiba pada Jumaat.

"Kami merancang untuk ke pantai pada pagi Ahad namun ada urusan jadi terpaksa ditunda ke petang. Memang saya dan adik berasa berat hati untuk ke sana namun kami sudah berjanji dengan budak-budak nak main pantai.

"Kami pergi dua buah kereta dan tiba di pantai, kami makan dahulu. Ketika kami berenam sedang mandi, ombak datang dari arah kaki dan menarik kami ke tengah laut, namun saya sempat menyelamatkan diri," katanya sebak.

Tambah Marlini, dia melihat kakak dan dua beradik itu dibawa ombak dalam keadaan tenggelam timbul namun tidak mampu untuk membantu mereka.

"Anak arwah menarik ibunya ke darat manakala dua beradik itu diselamatkan orang awam. Kejadian itu berlaku dalam tempoh kurang 30 minit.

"Saya sepatutnya pulang ke kampung semalam namun tiket keretapi habis, terpaksa pulang pada 18 November ini.

"Dua arwah bersama adik saya pula dijadualkan balik ke Kuala Lumpur malam Ahad (semalam) selepas mandi pantai kerana Isnin mereka mula bekerja," katanya lagi.

Jenazah Asiah dikebumikan pada jam 2 petang tadi di Tanah Perkuburan Islam Felda Chiku 01 di sini.

Arwah yang juga suri rumah meninggalkan suami, Mohd Sayufi Othman serta lima anak berusia antara 19 hingga sembilan tahun termasuk pasangan kembar.

ARTIKEL BERKAITAN:

Tiga wanita termasuk dua beradik lemas