Sumareh teruja dalam senarai ABK 2019

Sumareh
Sumareh
A
A
A

MENYAKSIKAN rakan-rakan seperjuangan diraikan dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) saban tahun menjadikan pemain sayap lincah Pahang, Mohamadou Sumareh menyimpan misi sama untuk turut berada di atas pentas pada majlis berprestij itu.

Hasrat Sumareh semakin hampir menjadi kenyataan apabila dia tercalon dalam kelompok tiga terbaik bagi kategori Pemain Tengah Terbaik ABK 2019 bersama dua lagi pesaing iaitu rakan sepasukannya, Nor Azam Azih dan tonggak Perak, Brendan Gan.

Sudah pasti, ia adalah satu pengiktirafan yang cukup bermakna buat pemain naturalisasi negara ini apabila tercalon buat julung-julung kalinya kerana sudah lama mengimpikan untuk berada dalam acara kemuncak arena bola sepak Malaysia itu sebagai calon pemenang.

Namun, untuk dinobatkan sebagai pemenang bukannya mudah berdasarkan prestasi semasa yang telah ditampilkan Azam dan juga Brendan yang kembali mencuri tumpuan selepas bangkit daripada kecederaan serius anterior cruciate ligament (ACL) sebanyak dua kali.

“Secara jujurnya, saya cukup gembira apabila melihat rakan-rakan diraikan dalam anugerah berprestiji seperti itu selain dapat hadir mengenakan pakaian yang cukup segak dan bergaya.

“Bagi saya, suasana sebegitu cukup indah untuk dirasai dan lebih manis apabila kemenangan itu berpihak kepada kita di samping tepukan gemuruh yang diperoleh dalam satu majlis yang cukup besar itu.

“Saya belum pernah lagi merasai saat sebegitu dan tercalon dalam kelompok tiga terbaik sudah cukup memberi satu kepuasan dan diharapkan rezeki akan berpihak kepada saya untuk menaiki pentas utama tahun ini,” jelasnya.

Bagaimanapun, impian pemain kelahiran Gambia itu mungkin disekat Azam yang dilihat turut menampilkan prestasi cemerlang bersama skuad Tok Gajah.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak letak harapan tinggi untuk menang dan memilih Brendan untuk menang berdasarkan aksi konsistennya bersama Perak, malah saya hormati dia sebagai pemain yang kaya dengan pengalaman,” jelas Azam.

Bagi Brendan pula, dia juga tidak meletakkan harapan tinggi untuk mendominasi anugerah itu meskipun mendapat pujian Azam dan disebut-sebut sebagai calon pilihan.

“Satu kepuasan buat diri sendiri apabila tercalon dalam kategori ini selepas saya terpaksa bangkit daripada masalah kecederaan sebelum ini. Saya anggap pencalonan ini juga satu kejayaan," ujarnya.