Imigresen Kedah tahan 11 pendatang di Kubang Pasu

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Imigresen Kedah menahan 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai warganegara dalam Op Mega di dua lokasi berasingan di sekitar Kubang Pasu, Khamis lepas.

Pengarahnya Zuhair Jamaludin berkata operasi disertai 13 anggota dan pegawai imigresen yang bermula 10.30 pagi hingga 4.30 petang itu telah menjalankan pemeriksaan di sebuah tapak projek perumahan dan kafeteria di sekitar daerah itu.

"Kita telah menjalankan pemeriksaan terhadap 47 warga asing pelbagai warganegara dan daripada jumlah itu empat lelaki Thailand, lelaki Myanmar (tiga), lelaki Indonesia (dua), lelaki Bangladesh (satu) dan wanita Kemboja (satu) berumur 20 hingga 60 tahun ditahan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Zuhair berkata kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 56(1)(I) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1956/63 serta Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial atau pas kerja.

Beliau berkata mereka kini ditempatkan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik di Sik.- Bernama

Artikel Berkaitan: