Pentadbir cukai wajar bantu tangani isu cukai ekonomi bayangan

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika berucap pada Persidangan Teknikal Tahunan Persatuan Pentadbir Cukai (CATA) 2019 di sini hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika berucap pada Persidangan Teknikal Tahunan Persatuan Pentadbir Cukai (CATA) 2019 di sini hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Pentadbir cukai di seluruh dunia wajar bekerjasama dan berkongsi maklumat bagi menangani isu pematuhan cukai dan menghalang aktiviti bayangan terutama ekonomi bayangan, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Guan Eng berkata, ekonomi bayangan sukar diukur kerana kedudukannya dan ia sentiasa dikaitkan dengan sama ada negara itu bersih atau korup, jika negara itu korup ekonomi bayangan berkembang.

Beliau berkata, pelbagai kajian mencadangkan bahawa saiz ekonomi bayangan dianggarkan antara 15 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) di negara kaya dan enam peratus di negara kurang maju.

"Ekonomi bayangan besar di Malaysia dengan angkanya disyaki sekitar 21 peratus atau hampir RM300 bilion daripada KDNK atau sekitar AS$73 bilion.

"Saya beranggapan bahawa jawapannya sudah jelas. Negara (Malaysia) korup sebelum ini, kleptokrasi. Sekarang ia bukan lagi kleptokrasi, ia demokrasi, oleh itu kita mahu tahap ekonomi bayangan menurun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Teknikal Tahunan Persatuan Pentadbir Cukai (CATA) 2019 di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan sedang bekerjasama dengan pelbagai agensi dan sektor untuk mengurangkan saiz ekonomi bayangan di negara ini yang merangkumi semua aktiviti ekonomi tersembunyi daripada pihak berkuasa rasmi atas sebab-sebab monetari, peraturan dan institusi.

"Sekiranya kita dapat mengurangkan ekonomi bayangan di negara sekurang-kurangnya satu perlima, bayangkan hasil tambahan antara RM5 bilion dan RM15 bilion yang boleh dikumpulkan setiap tahun," katanya.

Beliau berkata, maklumat dan digitalisasi merupakan kunci untuk mengelak cukai dan pengubahan wang haram walaupun oleh pemimpin negara.

Artikel Berkaitan:

"Menerusi pendigitalan terutama bank data yang ada, pengelakan cukai sukar dilakukan.

"Justeru, kita mesti memastikan bahawa pendigitalan berfungsi untuk negara, untuk pentadbir cukai. Dengan itu, kita mengawal dan bukannya dikawal oleh syarikat multinasional," katanya. - Bernama