Kementerian Kerja Raya cadang wujud projek kecil berimpak besar

Baru ketika hadir pada Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Baru ketika hadir pada Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya akan mengkaji pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi dengan mewujudkan projek kecil berimpak besar bagi merancakkan sektor pembinaan, Persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri berkenaan, Baru Bian berkata, kajian itu akan dibawa kepada jemaah menteri untuk pertimbangan lanjut.

“Cadangan melaksanakan pakej rangsangan ekonomi dengan mewujudkan projek kecil berimpak besar ini saya dimaklumkan dahulunya telah dilaksanakan dan saya rasa ini satu cadangan yang baik dan kita akan kaji dan angkat ke jemaah menteri,” katanya pada sesi soal jawab lisan hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Teh Kok Lim (PH-Taiping) mengenai sama ada kerajaan bersedia menimbangkan kaedah-kaedah baharu termasuk pakej rangsangan ekonomi supaya merancakkan lagi sektor pembinaan.

Dalam pada itu, Baru berkata, semua perolehan bagi projek kerajaan akan ditawarkan secara tender terbuka dalam usaha memastikan projek kerajaan dilaksanakan dengan kos yang lebih berpatutan.

Beliau berkata, kementeriannya juga melaksanakan makmal pengurusan nilai bagi setiap projek dengan kos melebihi RM50 juta seperti yang diwajibkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

"Makmal pengurusan nilai merupakan satu alat pentadbiran dalam pelaksanaan projek untuk mencapai nilai untuk wang untuk setiap projek," katanya apabila menjawab soalan asal ahli yang sama berhubung tindakan yang diambil kerajaan dalam memastikan projek baharu dilaksanakan dengan kos lebih berpatutan demi kepentingan rakyat. - Bernama

Artikel Berkaitan: