SPR nafi dakwaan pegawai SPR halang calon bebas berkempen

 Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun
A
A
A

PONTIAN - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan adanya Pegawai Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) yang menghalang calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Faridah Aryani Abd Ghaffar daripada berkempen pada 9 November lepas.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, dakwaan insiden yang berlaku kira-kira 6 petang di Pasar Malam, Taman Utama, Pekan Nanas itu tidak berasas, sebaliknya keadaan antara pasukan PPKPR dan pihak calon tersebut ditangani secara aman tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Menurutnya, Ketua PPKPR telah melihat permit berkempen dan memaklumkan tiada halangan untuk pihak calon meneruskan kempen tetapi mengingatkan calon dan rombongannya supaya tidak mengedarkan atau mempamerkan bahan kempen.

“Ini berikutan calon tersebut tidak membayar deposit bahan kempen di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT). Mereka akur dan faham dengan apa yang dinyatakan oleh Ketua PPKPR. Sebelum beredar, PPKPR juga telah bersalaman dengan semua rombongan calon Bebas," katanya menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini.

Portal media melaporkan bahawa kempen melibatkan Faridah Aryani didakwa diganggu oleh tiga individu yang menyamar sebagai pegawai SPR dan mengarahkan mereka untuk beredar dari kawasan Pasar Malam, di Taman Utama, Pekan Nanas.

Menurut laporan itu, Pengasas Big Blue Capital (M) Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, insiden berlaku pada Sabtu lepas ketika rombongan jentera mengadakan ‘walkabout’ di pasar malam itu.

Shamsubahrain berkata, mereka didatangi beberapa lelaki yang mendakwa pegawai SPR dan meminta agar calon serta rombongannya beredar dari kawasan pasar malam dengan alasan tidak mempunyai permit untuk berkempen di lokasi berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: