Enam beranak diami rumah hampir roboh

Zulaika bersama anak-anaknya yang tinggal di rumah pusaka yang menunggu masa untuk roboh.
Zulaika bersama anak-anaknya yang tinggal di rumah pusaka yang menunggu masa untuk roboh.
A
A
A

JASIN - Seorang ibu kepada empat orang anak mengakui terpaksa menolak permintaan guru sekolah anaknya yang mahu datang ke rumah mereka berikutan kediamannya di Kampung Pulai, Serkam sangat usang.

Siti Zulaika Mahmud, 31, yang tinggal bersama suami dan empat anaknya berusia 9 bulan hingga 11 tahun berkata, dia bersyukur guru sekolah anaknya begitu memahami keadaan keluarganya.

"Kami sekeluarga tinggal di rumah ini sejak 10 tahun lalu dan keadaannya sekarang agak usang ibarat menunggu masa untuk roboh, tapi kami tiada pilihan lain.

"Rumah ini asalnya milik arwah datuk suami, rumah ini sahaja yang ada untuk kami berteduh daripada panas dan hujan," katanya.

Dia berkata, suaminya, Ismail Abd Rahim, 42, yang juga orang kurang upaya (OKU) bekerja di SWM Environment Sdn Bhd Melaka sebagai pekerja Am dengan pendapatan bulanan sebanyak RM900.

Zulaika dan sumainya reda tinggal di rumah yang uzur sejak 10 tahun lalu.
Zulaika dan sumainya reda tinggal di rumah yang uzur sejak 10 tahun lalu.

"Gaji suami memang tak cukup nak baiki rumah ini. Anak-anak pun pernah mengadu mereka takut untuk tinggal di sini kerana berasa tak selamat lebih-lebih lagi bila hujan.

"Bumbung rumah banyak yang sudah bocor, lantai pun ada yang berlubang-lubang dimakan anai-anai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Siti Zulaika berkata, sebelum ini dia pernah bekerja namun berhenti kerana perlu menjaga anaknya yang mengalami masalah kesihatan.

"Anak sulung kami OKU selepas doktor sahkan dia sebagai kanak-kanak hiperaktif, anak kedua pula menghidap penyakit disleksia selain dua lagi sering diserang asma," katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, dia berharap permohonannya untuk mendapat bantuan rumah peduli dapat dipertimbangkan segera.

Keadaan rumah yang didiami enam beranak di Kampung Pulai, Serkam.
Keadaan rumah yang didiami enam beranak di Kampung Pulai, Serkam.

"Saya baru buat permohonan di Kompleks Japerun Serkam selepas ibu saya benarkan kami sekeluarga dirikan rumah di atas tanah berhampiran rumah pusaka ini.

"Tolonglah bantu saya untuk membina rumah sendiri sebab dengan wang gaji sendiri memang saya tak mampu dan harap ada sinar baharu untuk keluarga saya," katanya.

Difahamkan keluarga ini mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan bantuan bulanan makanan Majlis Agama Islam Melaka bagi meringankan beban mereka.