X

Kindly register in order to view this article
!

101 peneroka Felda Kechau 1 terima surat hak milik tanah

Wan Rosdy (depan, tengah) bersama sebahagian penerima surat hak milik tanah pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin dan Masyarakat DUN Padang Tengku. - Foto FB Wan Rosdy Wan Ismail
A
A

KUALA LIPIS - Berita gembira buat 101 peneroka di Felda Kechau 1 di sini apabila menerima surat hak milik tanah masing-masing disampaikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Memetik laporan Unit Komunikasi dan Media Pahang, Wan Rosdy berkata, sejumlah 25 peneroka lagi bakal menerima surat hak milik tanah mereka selepas beberapa masalah teknikal diselesaikan.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada peneroka kerana mendapat geran hak milik tanah bagi kebun seluas 4 hektar dan 0.1 hektar bagi tapak rumah.

“Bagi 25 peneroka lagi yang belum mendapat hak milik tanah, kita akan selesaikan masalah ini dalam tempoh tiga hingga empat bulan lagi,” katanya ketika berucap sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin dan Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Tengku di Dewan Orang Ramai Tanah Rancangan Felda berkenaan di sini kelmarin.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, peneroka yang menerima surat hak milik tanah juga diingatkan supaya membayar cukai tanah bagi membantu meningkatkan hasil kutipan kerajaan negeri.

“Kita kutip balik duit cukai tanah ini sebab ia akan dikembalikan semula kepada rakyat.

“Seperti mana laporan audit sebelum ini, kerajaan negeri berjaya meningkatkan hasil kutipan Pahang sebanyak RM1.1 juta bagi tahun ini,” katanya.

Pada majlis sama, Wan Rosdy turut menyampaikan sumbangan kerajaan negeri berjumlah RM75,000 kepada 13 penerima di kawasan DUN Lipis.

Beliau turut meluluskan peruntukan RM120,000 bagi tiga projek pembangunan masyarakat di Felda Kechau 1.

Peruntukan tersebut bagi membina Dataran Kejat (RM100,000), pembinaan gelanggang bola tampar untuk belia (RM15,000) dan pembelian pakaian untuk kumpulan marhaban Felda Kechau 1 (RM5,000).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus