X

Kindly register in order to view this article
!

Remaja mati dirempuh: Lelaki didakwa memandu bawah pengaruh dadah

Tertuduh mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah.
A
A

BALIK PULAU - Seorang pemandu bas persiaran mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memandu bas di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian seorang remaja dalam kejadian Khamis lalu.

S Peter Paul, 49, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Ahmad Tajudin Zain di Mahkamah Majistret Balik Pulau di sini tadi.

Mengikut pertuduhan, Peter didakwa memandu di bawah pengaruh dadah hingga gagal mengawal kenderaan dan menyebabkan kematian penunggang motosikal, Muhammad Saifullah Mohammad Hafiez, 16.

Tertuduh yang berasal dari Mutiara Perdana, Bayan Lepas itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Jalan Dato Ismail Hashim pada jam 6.30 petang, 7 November lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 44 (1) Jalan Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman antara RM8,000 dan RM20,000 dan dipenjarakan dari tiga tahun hingga 10 tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Rais Imran Hamid meminta mahkamah memberikan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin kerana melibatkan kesalahan serius sehingga menyebabkan kematian.

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau tadi.
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau tadi.

Bagaimanapun, peguam, S Yagoo merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan kepada RM10,000 dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sambilan sebagai pemandu bas.

"Tertuduh ialah bapa tunggal dan perlu menyara tiga anak serta ibunya, selain kes tersebut adalah kes merit jaminan," katanya.

Ahmad Tajudin kemudian membenarkan Peter diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan kes disebut semula 5 Disember ini sementara menunggu laporan bedah siasat, kimia, patologi dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Dalam kejadian petang Khamis lalu, seorang penunggang motosikal maut manakala tiga lagi parah dirempuh bas persiaran di persimpangan Jalan Dato Ismail Hasyim, Bayan Lepas.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, bas persiaran yang datang dari arah Persiaran Kelicap menuju ke Bayan Lepas dikatakan hilang kawalan sebelum bergesel dengan sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan dan merempuh sebuah lagi kereta dipandu seorang wanita bersama dua anaknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Seorang maut, tiga parah dirempuh bas persiaran

Bas itu kemudiannya merempuh sebuah motosikal yang diparkir di tepi jalan dan merempuh penunggang motosikal yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Akibat kejadian itu, Muhammad Saifullah,16 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta bersama dua anaknya yang mengalami kecederaan dibawa ke hospital.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu bas persiaran positif syabu


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!