Pelantikan KJ tak sah

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

PELANTIKAN bekas Menteri Belia dan sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai Timbalan Presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia adalah tidak sah dan boleh dipertikaikan kesahihannya.

Pesuruhjaya Sukan (PJS) dalam satu surat rasmi yang ditandatangani ketua penolong PJS, Asmadi Mohamad menyatakan Khairy Jamaluddin tidak pernah memohon untuk menjadi ahli kepada persekutuan tersebut tetapi nama beliau telah dicadangkan oleh setiausaha semasa Mesyuarat Agung Tahunan bertarikh 3 Mac lalu.

"Pejabat ini mengambil maklum bahawa pada Fasal enam perlembagaan menyatakan keahlian terbahagi kepada empat kategori iaitu ahli gabungan, ahli bersekutu, ahli individu dan ahli kehormat di mana ahli individu dan ahli kehormat adalah ahli yang boleh dilantik oleh jawatankuasa induk.

"Pihak persekutuan juga mengakui terlepas pandang mengenai pelantikan Khairy Jamaluddin semasa Mesyuarat Agung Tahunan badan sukan itu adalah bercanggah dengan Fasal 17.5 perlembagaan yang menyatakan jika terdapat kekosongan jawatan dalam jawatankuasa induk, calon yang mendapat undi kedua terbanyak semasa pemilihan yang lepas adalah dengan sendirinya layak untuk memegang jawatan tersebut.

"Jika tiada calon yang demikian atau calon tersebut menolak jawatan tersebut, maka pemilihan bagi mengisi kekosongan tersebut perlu di bawa ke Mesyuarat Agung Tahunan yang akan datang," katanya seperti yang dipetik dalam surat tersebut.

Justeru, kata PJS, Khairy Jamaluddin sebagai timbalan presiden pada Mesyuarat Agung Tahunan itu boleh dipersoal dan dipertikaikan kesahihannya.

Dalam masa sama, PJS juga turut menyifatkan pelantikan bekas timbalan presiden, Tan Ah Bee yang telah meletak jawatan pada 5 November tahun lalu sebagai Naib Presiden 3 semasa Mesyuarat Agung Tahunan badan sukan itu turut bercanggah dengan Fasal 17.5.

"Pelantikan dibuat setelah setiausaha membuat pelawaan kembali kepada barisan ahli jawatankuasa kepada Tan Ah Bee melalui telefon dan beliau bersetuju kembali jika hanya memegang jawatan naib presiden atas alasan tidak dapat memberi komitmen penuh atas sebab peribadi.

Artikel Berkaitan:

"Oleh yang demikian pada pemahaman pejabat ini, pelantikan Ah Bee sebagai Naib Presiden 3 pada Mesyuarat Agung Tahunan 2019 boleh dipersoal dan dipertikaikan kesahihannya," katanya.

Sehubungan itu, PJS menasihatkan persekutuan supaya melakukan pembetulan dengan kadar segera sebelum perkara ini menjadi isu dan pertikaian memandangkan telah ada pihak yang membuat aduan mengenai perkara tersebut.