Kerajaan Perak tumpu kebajikan rakyat

Ahmad Faizal (kiri) menyampaikan ucapan sempena Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak di Istana Iskandariah semalam. - Foto Pejabat MB Perak
Ahmad Faizal (kiri) menyampaikan ucapan sempena Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak di Istana Iskandariah semalam. - Foto Pejabat MB Perak
A
A
A

KUALA KANGSAR - Kerajaan Perak memberi tumpuan serius kepada usaha menambah baik jaringan keselamatan sosial sedia ada.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri akan memperluaskan program Kad Perak Prihatin pada tahun hadapan setelah memberi manfaat kepada 17,000 isi rumah pada tahun ini.

Menurutnya, hasrat memperluaskan program itu bagi membela lebih ramai golongan kurang bernasib baik.

“Usaha ini akan turut ditambah nilai dengan pengenalan program exit policy bertujuan mendayaupayakan penerima bantuan yang terpilih bagi mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan.

“Selain itu, Kerajaan Tuanku juga akan memperkasa program pembangunan keusahawanan bagi melahirkan golongan usahawan yang benar-benar berdaya saing,” katanya ketika berucap sempena Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak di Istana Iskandariah di sini semalam.

Ahmad Faizal berkata, kerajaan Perak juga telah memulakan langkah membangunkan Perak Agro Valley seluas hampir 2,000 hektar di Wilayah Bukit Sapi, Lenggong.

Katanya, usaha itu sebagai menjunjung titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya kerajaan menghasilkan pelan strategik untuk melindungi kedaulatan makanan negara seterusnya mengekang kenaikan kos sara hidup rakyat jelata.

“Kerajaan negeri turut komited untuk meneruskan pembukaan tanah bagi tujuan tanaman kontan.

Artikel Berkaitan:

“Bagi tujuan itu, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak telah melaksanakan Projek Ladang Integrasi Bersama Rakyat di ladang-ladang milik mereka,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri turut menyasarkan sektor pelancongan untuk berfungsi sebagai serampang dua mata iaitu sebagai pemacu pertumbuhan sektor perkhidmatan dan pada masa yang sama merakyatkan ekonomi dengan penglibatan langsung rakyat dalam pelbagai aktiviti berkaitan pelancongan.

“Kerajaan Tuanku turut bersyukur dengan komitmen kerajaan Persekutuan yang menyokong hasrat menaiktaraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah termasuk memanjangkan landasan dengan mempelawa cadangan kerjasama awam dan swasta.

“Pemodenan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah sebagai pintu masuk ke negeri Perak akan diperlengkapkan dengan Pelan Pembangunan Bersepadu Stesen Kereta Api Ipoh,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Faizal turut memohon perkenan Sultan Nazrin bagi kerajaan mewartakan Taman Tasik Taiping merangkumi Bukit Larut yang sebagai Taman Tasik Diraja.

Menurutnya, dengan pewartaan itu sebarang pembangunan di seluruh kawasan tersebut hanya boleh dilaksanakan setelah dipersembahkan dan mendapat perkenan baginda terlebih dahulu.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri berusaha untuk memperbaiki setiap kelemahan yang ada dan beriltizam memberikan khidmat bakti terbaik.