Nasib pusat tahfiz tidak berdaftar

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KEMATIAN pelajar tahfiz, Muhammad Aimin Nurul Amin, 7, di Madrasah Nahdhah Syubban Addiniyah di Kampung Kuala Kuang, Lanchang dekat Temerloh, Pahang menggemparkan seluruh negara.

Kejadian seumpama itu bukanlah kali pertama berlaku di pusat-pusat tahfiz yang kini tumbuh bagaikan cendawan.

Sudah banyak kisah yang tidak enak kita dengar berlaku di pusat-pusat tahfiz seperti kes liwat, penderaan dan buli.

Antara polemik yang sering ditimbulkan ialah ada kewujudan pusat tahfiz ini tidak berdaftar.

Menurut Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Mohd Noor, pemilik pusat tahfiz enggan mendaftar kerana bimbang pergerakan mereka dipantau jabatan atau majlis agama Islam negeri.

Berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, segala urusan berkaitan dengan agama adalah tertakluk di bawah kuasa negeri.

Oleh yang demikian, semua pusat tahfiz di Malaysia perlu berdaftar dengan jabatan dan majlis agama Islam di negeri masing-masing.

Difahamkan antara kebimbangan yang ditimbulkan sesetengah pihak ialah pentadbiran pusat tahfiz akan diambil alih pihak majlis atau jabatan agama negeri.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, mereka bimbang sekiranya tanah persendirian yang dimiliki perlu diserahkan kepada majlis dan jabatan agama Islam negeri tertentu dan dijadikan sebagai tanah wakaf.

Peraturan itu diwujudkan untuk menjaga kepentingan pelajar sekiranya pemilik tanah membuat keputusan untuk menjual kepentingan mereka kepada mana-mana pihak.

Jadi adalah lebih selamat sekiranya ia diletakkan di bawah majlis atau jabatan agama Islam negeri.

Satu lagi kepentingan untuk mendaftarkan pusat tahfiz ialah mengekang kewujudan ajaran sesat.

Alasan terakhir ialah pusat tahfiz yang tidak berdaftar tidak dibenarkan mengutip derma sewenang-wenangnya.

Satu lagi perkara yang perlu dijadikan iktibar ialah niat keluarga menghantar anak-anak yang bermasalah mendalami ilmu agama di pusat tahfiz.

Mungkin majlis atau jabatan agama Islam negeri boleh ambil inisiatif menyediakan tempat khas bagi pelajar bermasalah.

Pelajar itu perlu ditempatkan di sebuah pusat yang terkawal dan tersusun agar proses pembentukan diri dilakukan dengan lebih baik dan sempurna.